Isnin, 9 November 2020

Puisi : Stanza Tashih

 



Apa yang tinggal?

Semua sudah tiada

Semua sudah pergi

Tinggal hanya sisa

Sisa hidup dan sisa kasih ini

Perjalanan ditempuhi tanpa gentar

Tak pernah sekali berundur

Walau jatuh 

Kembali bertatih

Bertahan dan terus mengorak langkah

Sakit?

Semua itu sudah menjadi kebal

Sudah muak dengan kehilangan

Sudah muak  dengan kekerasan  hidup

Berjalan bagai di atas hamparan kaca?

Sudah! 

Apa lagi yang belum?

Diambang maut?

Juga sudah!

Saat nyawa di hujung nafas?

Pun dirasakan

Pasrah berserah

Itu semua aturan-Mu

Kun fa ya kun!

Hingga sampai satu saat

Kembali semula sinar lama yang telah hilang

Sinar yang telah lama ditinggalkan

Sinar kecil yang selama ini menjadi penerang jalan hidup

Sinar kecil di lorong waktu

Sinar kecil yang selama ini kekuatan terbesar dalam diri

Kini...

Nantikan saja sinar kecil itu 

Membesar dan terus bersinar

Agar kelak semuanya akan kembali

Baik-baik saja


Puisi : Cerita Sebelum Kita

 


Dahulu

Pernah ada rasa

Pernah ada cerita

Pernah ada janji

Pernah ada cita

Dahulu

Pernah terungkap kata

Pernah menjalin kasih

Pernah berkata janji

Pernah berkait asmara

Dahulu

Pernah ada cinta

Satu waktu yang takkan pernah dilupa

Sebuah cerita antara kita

Abadi menjadi nostalgia

Semuanya pernah ada dalam diri kita

Kini

Semua tinggal memori

Menyelinap rasa itu saban hari

Mengulang kembali

Itu hanyalah sekadar sebuah cerita

 Cerita sebelum kita

Yang kini telah lama usai





Isnin, 14 September 2020

Puisi : Tolong

 


Tolong...

Jangan biarkanku tersadai longlai

Tolong...

Jangan biarkan tanganku lemah cuba menggapai

Tolong...

Jangan biarkan nafasku lemah menghela

Tolong...

Jangan biar langkahku lambat menapak

Tolong...

Jangan sesali perjalanan ini

Tolong...

Jangan tudingkan kesalanmu padaku

Tolong...

Sambut tulus niatku

Tolong...

Jangan jauhi niatmu

Tolong...

Bergerak seirama denganku

TOLONG... 

Khamis, 20 Ogos 2020

Puisi : Bawa Aku Ke Bulan

 


Dahulu

Aku pernah mengimpi

Berada ke awan biru

Seperti burung terbang bebas di udara

Mengepak sayap ke mana sahaja mahunya

Dahulu

Aku selalu mengimpi

Sekiranya aku dapat menginjak kaki

Tepat di tanah bulan nan tinggi

Menikmati cahaya malam

Sambil melihat indah pancaran sinarnya ke bumi

Kini

Aku terus bermimpi

Memanggil kembali impiku

Merajut lamunan lenaku

Mengait impian asalku

Salahkah

Andai itu angan tak usaiku

Penghias indah lelapku

Setiap orang itu punya rasa

Punya suka

Punya cerita reka sendiri

Semuanya demi satu impi

Satu cita

Satu harap

Akan kusemat kusisip abadi





Rabu, 12 Ogos 2020

Puisi : Aku Yang Kau Tak Anggap

 



Labuh duduknya tak mungkin berkala

Apabila hati mula berkata

Aku cinta padamu

Dengus nafasnya

Tak mungkin sekata

Apabila di dada hanya menyatakan

Aku rindu padamu

Renungan mata

Tak mungkin akan tegar

Apabila hati menurutkan

Tak mungkin kulupa wajahmu

Nafas dihela

Labuhku bersandar

Pandangan dilontar jauh

Kenangan bersilih tayang

Mata bergenang

Hati membisik rindu

Mulut membisu

Isnin, 13 Julai 2020

Puisi : Hipnotis






Wahai malam
Dodoikan tidurku
Dengan nyanyian cengkerik
Dan alunan suara sang pungguk
Andai itu mampu melenakan tidurku
Suluhi tidur pulasku 
Dengan biasan purnama
Dan tiupkan dengan lembut
Angin malammu nan dingin
Agar esok
Kuterjaga dengan semangat baru
Kembali memulai langkah baru
Menghapus yang sebelumnya menghalangiku
Dengan hipnosismu
Semangat baru
Aura baru
Nafas baru
Dunia baru
Hidup baru

Ahad, 12 Julai 2020

Cerpen : Mandrem





Melakukan kerja mencuci dan menyapu di luar rumah lewat petang itu membuatkan aku sangat letih. Selesai mencuci koridor belakang rumah, aku duduk merehatkan diri seketika di bangku kayu yang terletak di belakang rumah sambil menikmati tiupan angin sepoi-sepoi bahasa. Aku masih ingat lagi ketika itu, umur aku baru berusia 14 tahun. Ketika itu aku sedang cuti awal penggal persekolahan. Menjelang Maghrib aku masih juga kekal duduk di situ hanyut dalam kedamaian dengan ditemani hembusan angin pada senja hari. Tiba-tiba, aku terlihat ada sesuatu yang pelik di atas papan pemijak antara koridor belakang rumahku yang menyambungkan stor yang letaknya di hujung rumah. Nak tahu apa yang aku nampak? Cicak. Seekor cicak yang sangat kurus hingga nampak tulang walaupun hakikatnya badan cicak itu masih diselaputi kulit dengan mata cicak itu kemerah-merahan. Ada lagi yang pelik tentang cicak itu. Belakangnya ditusuk sebatang jarum kemudian dililit dengan benang merah! Dengan usia yang baru menginjak usia remaja ketika itu dan rasa ingin tahu aku kehairanan. Aku tidak takut malah lebih menjurus kepada perasaan ingin tahu sahaja tanpa memikirkan apa-apa pun selain daripada apa yang aku lihat. Setelah beberapa detik aku asyik memandang cicak yang tidak bergerak-gerak itu, mak memanggil aku dari dalam rumah. Terdengar suaranya bertanya apa yang aku pandang tu sampai aku dipanggil berkali-kali pun tak menjawab. Aku tersentak mungkin kerana aku begitu asyik melihat cicak tersebut. Aku pun bagitau mak yang aku nampak cicak ni pelik ada jarum di belakang dia. Mak pun cepat-cepat datang dan menghalaunya. Aku masih lagi berfikir bagaimana cicak tu masih boleh hidup sedangkan badannya dah dicucuk jarum. Nak aku cabut jarum tu tapi aku geli pada cicak, jadi aku batalkan dan cicak itu berlalu pergi. Memanglah tiada yang istimewa pun cicak itu dan cerita ini jika ia hanya berkisar tentang haiwan tersebut. Tetapi ada yang lebih ekstrim lagi apabila abah aku jatuh sakit dalam keadaan yang tidak wajar ketika itu. Masa abah sakit aku tidak tinggal sama dengan mereka kerana aku bersekolah dan terpaksa tinggal di rumah makcikku iaitu adik kepada abah. Balik pun aku jarang jika bukan semasa cuti sekolah. Hinggakan pada satu hari aku mendapat berita abah sakit. Jiran serta kawan sekerja abah ramai yang dah datang melawat abah kerana dia ketika itu sakit yang terlantar. Tetapi aku? Masa itu siapalah aku untuk balik untuk melawat abah kerana wang pun tidak cukup untuk dijadikan tambang apatah lagi untuk aku berulang-alik dan pada masa yang sama aku sedang menjalani peperiksaan sekolah. Memanglah aku menangis dan sangat sedih kerana tidak dapat jumpa abah. Jika aku pulang pun itu akan menyusahkan lagi mak kerana perlu memberikan duit belanja untuk aku balik dan kembali ke sekolah. Jadi aku memutuskan untuk tidak mahu menyusahkan mereka dan berdoa semoga abah aku diberikan kesembuhan. Sudah berhabis duit dan banyak tempat mak bawa abah berubat. Berapa biayanya aku tidak tahu kerana mereka sehingga kini tidak pernah menceritakannya kepadaku. Ke klinik, ke pakar perubatan tradisional pun sudah. Namun langsung tidak menunjukkan tanda-tanda sakitnya mahu sembuh. Apa yang aku ingat sakit abah ketika itu ialah rambut abah gugur dengan banyaknya dan kulit kepalanya mengelupas serta mengeluarkan cecair seakan-akan nanah. Lagi pelik ialah abah juga langsung tidak dapat bangun dari tempat tidurnya. Sakit di bahagian badan yang lain pun aku tidak tahu kerana hanya yang nampak hanya kepalanya sahaja dilihat mengelupas dan berkerak. Berapa bulan abah terlantar sakit begitu aku sudah lupa berapa lama. Hinggalah akhirnya abah pergi berubat dengan salah seorang pakar perubatan ni barulah sakitnya beransur pulih. Aku ingat lagi abah mulai sakit setelah kejadian aku melihat cicak yang aku katakan ada jarum dicucuk pada belakangnya. Mungkin sebulan selepas kejadian itu kalau tak salah ingat aku.  Masih menjadi tanda tanya sebenarnya adakah kisah cicak dengan sakit abah aku itu ada kaitan? Jika benar ada hubung kaitnya, kenapa ada orang yang sanggup melakukan hal begitu terhadap abah aku? Apa salah abah dan siapa orang itu? Sekarang aku sedar dalam keluarga kami, hanya aku menyedari ada sesuatu yang pelik tentang cicak itu. Mak tidak berfikir apa-apa pun hingga kini dan beliau cuma anggap kejadian itu biasa-biasa saja. Bagiku, itu bukan biasa-biasa kerana akhirnya setelah kejadian tersebut abah jatuh sakit. Hingga kini aku menyesal tak sudah kerana melepaskan cicak itu pergi. Apakah itu benar-benar cicak adak hanya wujud cicak? Aku tak tahu. Kalau aku tahu ketika itu kejadian yang teruk sedemikian akan berlaku memang aku tepis rasa geliku pada cicak tersebut. Aku sanggup cabut jarum dan bunuh terus cicak itu. Ya, walau hakikatnya kalau tahu kalau dari segi perubatan tradisional atau perubatan kampung kaedahnya bukanlah semudah apa yang aku bayangkan di dalam akal tak logik ku ini. Aku tahu pasti ada caranya untuk melakukannya.  Bukan sekadar ini sahaja cerita yang pelik pernah aku alami dan lihat dengan mata kepalaku sendiri, malah banyak lagi kejadian yang tidak masuk akal. Kenapa aku? Kenapa selalu aku yang peka dengan hal sebegini? Hingga sekarang aku masih tidak ada jawapannya…

Puisi :- Beratnya Rindu

Versi lagu puisi Lirik penuh versi lagu puisi sila ke pautan seperti di bawah :- https://share-ai.singgenix.com/?token=S7tvkairNKgyHD1Nc5Bdo...