Isnin, 13 Julai 2020

Puisi : Hipnotis






Wahai malam
Dodoikan tidurku
Dengan nyanyian cengkerik
Dan alunan suara sang pungguk
Andai itu mampu melenakan tidurku
Suluhi tidur pulasku 
Dengan biasan purnama
Dan tiupkan dengan lembut
Angin malammu nan dingin
Agar esok
Kuterjaga dengan semangat baru
Kembali memulai langkah baru
Menghapus yang sebelumnya menghalangiku
Dengan hipnosismu
Semangat baru
Aura baru
Nafas baru
Dunia baru
Hidup baru

Ahad, 12 Julai 2020

Cerpen : Mandrem





Melakukan kerja mencuci dan menyapu di luar rumah lewat petang itu membuatkan aku sangat letih. Selesai mencuci koridor belakang rumah, aku duduk merehatkan diri seketika di bangku kayu yang terletak di belakang rumah sambil menikmati tiupan angin sepoi-sepoi bahasa. Aku masih ingat lagi ketika itu, umur aku baru berusia 14 tahun. Ketika itu aku sedang cuti awal penggal persekolahan. Menjelang Maghrib aku masih juga kekal duduk di situ hanyut dalam kedamaian dengan ditemani hembusan angin pada senja hari. Tiba-tiba, aku terlihat ada sesuatu yang pelik di atas papan pemijak antara koridor belakang rumahku yang menyambungkan stor yang letaknya di hujung rumah. Nak tahu apa yang aku nampak? Cicak. Seekor cicak yang sangat kurus hingga nampak tulang walaupun hakikatnya badan cicak itu masih diselaputi kulit dengan mata cicak itu kemerah-merahan. Ada lagi yang pelik tentang cicak itu. Belakangnya ditusuk sebatang jarum kemudian dililit dengan benang merah! Dengan usia yang baru menginjak usia remaja ketika itu dan rasa ingin tahu aku kehairanan. Aku tidak takut malah lebih menjurus kepada perasaan ingin tahu sahaja tanpa memikirkan apa-apa pun selain daripada apa yang aku lihat. Setelah beberapa detik aku asyik memandang cicak yang tidak bergerak-gerak itu, mak memanggil aku dari dalam rumah. Terdengar suaranya bertanya apa yang aku pandang tu sampai aku dipanggil berkali-kali pun tak menjawab. Aku tersentak mungkin kerana aku begitu asyik melihat cicak tersebut. Aku pun bagitau mak yang aku nampak cicak ni pelik ada jarum di belakang dia. Mak pun cepat-cepat datang dan menghalaunya. Aku masih lagi berfikir bagaimana cicak tu masih boleh hidup sedangkan badannya dah dicucuk jarum. Nak aku cabut jarum tu tapi aku geli pada cicak, jadi aku batalkan dan cicak itu berlalu pergi. Memanglah tiada yang istimewa pun cicak itu dan cerita ini jika ia hanya berkisar tentang haiwan tersebut. Tetapi ada yang lebih ekstrim lagi apabila abah aku jatuh sakit dalam keadaan yang tidak wajar ketika itu. Masa abah sakit aku tidak tinggal sama dengan mereka kerana aku bersekolah dan terpaksa tinggal di rumah makcikku iaitu adik kepada abah. Balik pun aku jarang jika bukan semasa cuti sekolah. Hinggakan pada satu hari aku mendapat berita abah sakit. Jiran serta kawan sekerja abah ramai yang dah datang melawat abah kerana dia ketika itu sakit yang terlantar. Tetapi aku? Masa itu siapalah aku untuk balik untuk melawat abah kerana wang pun tidak cukup untuk dijadikan tambang apatah lagi untuk aku berulang-alik dan pada masa yang sama aku sedang menjalani peperiksaan sekolah. Memanglah aku menangis dan sangat sedih kerana tidak dapat jumpa abah. Jika aku pulang pun itu akan menyusahkan lagi mak kerana perlu memberikan duit belanja untuk aku balik dan kembali ke sekolah. Jadi aku memutuskan untuk tidak mahu menyusahkan mereka dan berdoa semoga abah aku diberikan kesembuhan. Sudah berhabis duit dan banyak tempat mak bawa abah berubat. Berapa biayanya aku tidak tahu kerana mereka sehingga kini tidak pernah menceritakannya kepadaku. Ke klinik, ke pakar perubatan tradisional pun sudah. Namun langsung tidak menunjukkan tanda-tanda sakitnya mahu sembuh. Apa yang aku ingat sakit abah ketika itu ialah rambut abah gugur dengan banyaknya dan kulit kepalanya mengelupas serta mengeluarkan cecair seakan-akan nanah. Lagi pelik ialah abah juga langsung tidak dapat bangun dari tempat tidurnya. Sakit di bahagian badan yang lain pun aku tidak tahu kerana hanya yang nampak hanya kepalanya sahaja dilihat mengelupas dan berkerak. Berapa bulan abah terlantar sakit begitu aku sudah lupa berapa lama. Hinggalah akhirnya abah pergi berubat dengan salah seorang pakar perubatan ni barulah sakitnya beransur pulih. Aku ingat lagi abah mulai sakit setelah kejadian aku melihat cicak yang aku katakan ada jarum dicucuk pada belakangnya. Mungkin sebulan selepas kejadian itu kalau tak salah ingat aku.  Masih menjadi tanda tanya sebenarnya adakah kisah cicak dengan sakit abah aku itu ada kaitan? Jika benar ada hubung kaitnya, kenapa ada orang yang sanggup melakukan hal begitu terhadap abah aku? Apa salah abah dan siapa orang itu? Sekarang aku sedar dalam keluarga kami, hanya aku menyedari ada sesuatu yang pelik tentang cicak itu. Mak tidak berfikir apa-apa pun hingga kini dan beliau cuma anggap kejadian itu biasa-biasa saja. Bagiku, itu bukan biasa-biasa kerana akhirnya setelah kejadian tersebut abah jatuh sakit. Hingga kini aku menyesal tak sudah kerana melepaskan cicak itu pergi. Apakah itu benar-benar cicak adak hanya wujud cicak? Aku tak tahu. Kalau aku tahu ketika itu kejadian yang teruk sedemikian akan berlaku memang aku tepis rasa geliku pada cicak tersebut. Aku sanggup cabut jarum dan bunuh terus cicak itu. Ya, walau hakikatnya kalau tahu kalau dari segi perubatan tradisional atau perubatan kampung kaedahnya bukanlah semudah apa yang aku bayangkan di dalam akal tak logik ku ini. Aku tahu pasti ada caranya untuk melakukannya.  Bukan sekadar ini sahaja cerita yang pelik pernah aku alami dan lihat dengan mata kepalaku sendiri, malah banyak lagi kejadian yang tidak masuk akal. Kenapa aku? Kenapa selalu aku yang peka dengan hal sebegini? Hingga sekarang aku masih tidak ada jawapannya…

Jumaat, 19 Jun 2020

Cerpen : Danau




Kisah ini bukanlah kisah yang panjang. Hanya sekadar cerita pendek serta lebih kepada berkongsi cerita tentang satu kejadian yang pernah aku alami hampir 15 tahun yang lalu. Hari dan tahun yang tepat aku sudah lupa. Maaf juga jika apa yang akan aku kongsikan ini nanti, jalan ceritanya agak tunggang langgang. Cerita yang aku tiba-tiba teringat setelah hasil dari berkongsi kisah-kisah pelik yang pernah dialami oleh aku dan teman-teman sekerja. Atau mungkin juga kerana aku sejak akhir-akhir ini agak sensitif kepada hal-hal mistik sebegini. Setelah mendengar cerita dari teman sekerja, aku teringat kisah yang nak aku kongsikan di sini. Aku tak nak kongsikan tempatnya di mana kerana aku mahu menjaga sensitiviti penduduk sekitar dan menghormati privasi mereka.


Kisahnya bermula apabila dalam perjalanan di antara rumah aku ke tempat kerja melalui jalan kampung serta lalu juga di beberapa danau kecil sebelum tiba ke kawasan perladangan tempat aku bekerja ketika itu. Bukan aku yang pertama mengalami pada mulanya. Seingat aku orang yang mula-mula mengalami adalah seorang rakan kerja aku yang dalam perjalanan balik kerja dari ladang kelapa sawit tempat kami bekerja ke kampungnya. Setibanya dia di danau yang aku maksudkan ini, tiba-tiba dia melihat cahaya terang dari tengah danau tersebut. Dia hairan sebab sudah bertahun dia melalui danau yang terletak di pinggir jalan ini tidak pernah sekali pun dia mengalami kejadian sepelik itu. Waktu ketika itu hampir tengah malam. Kira-kira pukul 1130 minit malam dan keadaan danau itu diterangi cahaya seolah-olah dipasang ‘spotlight’. Meremang juga bulu roma dia almaklumlah hanya dia seorang yang melalui jalan ini ketika itu dan hanya bermotorsikal. Dia apalagi... Memecutlah tanpa menoleh ke belakang. Keesokan paginya setelah kami semua kembali bekerja dia pun menceritakan kejadian ini kepada kami. Jangankan dia yang rasa seram malah aku atau orang lain pun sama juga rasa seram jika tiba-tiba kena kejadian sebegitu. Mula-mula dia ingatkan ada orang dah pasang 'spotlight' di celah-celah pokok sawit yang terletak di pinggir danau itu. Tetapi setelah dia fikir manalah orang nak letak 'spotlight' dekat situ. Hanya ladang sawit saja pun malah yang ada pun hanya rumah dan pondok kebun warga tempatan di sana. Namun tidak ada penghuni kerana tuan rumah dah balik ke rumah mereka yang lagi lain dan hanya dijadikan tempat berehat ketika penat berkebun. Setahu rakanku ini dan juga kami yang sering berulang-alik melintasi jalan ini, danau yang diterangi cahaya ini hanya digunakan oleh orang kampung yang punya rumah tepi jalan ni mandi dan untuk digunakan sebagai keperluan harian seperti mencuci atau menyiram hasil tanaman dan juga digunakan oleh pekerja ladang untuk mengambil air untuk menyembur racun rumpai. Malah juga merupakan tempat warga memancing. Apabila malam menjelang kawasan sekitar danau ini memang gelap! Namun tidak pernah pun terjadi kejadian aneh sebegini.

Namun kejadian pelik di danau tersebut tidak hanya terjadi malam itu sahaja malah ia berlarutan hampir 3 bulan! Ya 3 bulan! Aku ingat benar! Paling menyeramkan apabila kisah pelik itu mulai tular ke daerah lain di sekitarnya. Maka bermulalah orang yang selama ini tak pernah nak masuk ke jalan yang sering kami lalui ini mulai masuk. Berpusu-pusu! Semuanya kerana hendak melihat sendiri kejadian aneh tersebut. Menjelang Maghrib ada saja yang tiba dan sanggup menanti di pinggir danau semata-mata mahu melihat kejadian aneh itu. Malah ada yang sanggup seharian menanti di sana sehingga malam. Apa yang mereka lakukan? Adakah anda faham dan anda tahu kenapa mereka begitu? Ada yang datang membawa buah limau, membawa benda-benda yang lebih kepada ‘persembahan’ kepada benda ghaib. Tak perlu aku sebutkan satu persatu. Sudah pasti anda tahu jika sesuatu yang berbaur benda ghaib apakah ritual yang mereka lalukan. Aku…yang melalui jalan ini berulang alik setiap hari merasa sangat hairan. Selalunya aku akan melalui jalan ini sekitar pukul 430 minit pagi untuk pergi ke tempat kerja aku dan balik kerja kadang-kadang aku kena lalu di sini dalam pukul 1100 ke 1200 tengah malam. Aku takut. Tetapi inilah jalan yang perlu aku lalui setiap hari. Tawakal sahajalah.

Pengalaman aku sendiri? Jujur aku tidak pernah melihat apa-apa yang menakutkan ketika lalu di jalan ini. Aku hanya melihat kawasan danau ini terang seperti disinari cahaya lampu. Hanya satu kejadian aneh yang aku sendiri lihat pada satu malam semasa aku pulang dari kerja, aku melihat di tengah-tengah danau itu ada rumpunan lalang yang terapung. Pulau lalang yang terapung di danau kecil itu benar-benar hidup! Warnanya diterangi cahaya kuning keemas-emasan yang entah dari mana datang cahaya tersebut. Itu sahaja. Tengok penampakan aku sama sekali tidak pernah dengan mata kasar aku. Selebihnya aku hanya berdoa agar aku sentiasa dilindungi oleh Allah swt dijauhi dari perkara-perkara yang tidak diingini. Alhamdulillah setakat yang aku alami hanya itu sahaja. Tetapi orang lain yang juga merupakan kawan sama tempat kerja dan orang-orang yang berani mengambil gambar di sekitar danau itu, jika bernasib baik mereka akan dapat merakam entiti yang ada di sekitar danau itu selama hampir 3 bulan kawasan tersebut diterangi cahaya. Aku masih ingat lagi pada satu hari seorang kawan mengambil gambar di danau tersebut kerana dia seperti ingin tahu apakah benar ada entiti yang dapat tertangkap dek kamera seperti yang diperkatakan oleh beberapa individu sebelum beliau sendiri yang mengambil gambar. Ternyata gambar yang dia ambil di antara waktu Maghrib dan Isyak itu merakamkan banyak sosok di dalam kameranya! Kemudian dia menunjukkan kepada kami semua. Ada seorang lelaki sedang duduk di atas singgahsana. Berpakaian warnanya kekuning-kuningan seperti persalinan seorang raja. Bersamping, bermahkota di kepalanya serta ada keris tersisip di pinggangnya. Ada juga sosok yang tertangkap di kamera yang bertengkolok, berjubah sambil memegang tasbih. Ada wanita serta anak-anak kecil. Ada yang lengkap berpakaian. Ada yang berkemban. Sama seperti manusia juga. Cuma…yang berbeza adalah bentuk wajah dan sosok tubuh mereka. Ada yang seperti orang kerdil. Ada juga wang bentuk wajahnya runcing, ada juga yang berbentuk seakan segi empat hexagon. Ada dapat bayangkan tak bagaimana rupa mereka? Wajah mereka putih bersih, namun bentuk hidung dan dagu mereka runcing. Apa yang aku sangat terkejut dia menangkap gambar tersebut di pulau lalang yang aku sendiri lihat beberapa hari sebelum danau itu menjadi bualan masyarakat sekitar. Aku sedari bahawa pulau lalang itu sering berubah-ubah kedudukannya. Ya. Memang ia terapung yang menang benar ia selalu berubah tempat. Gambaran entiti atau sosok yang aku lihat sendiri di kamera kawanku ini adalah gambar yang di ambil dari pulau lalang itu!

Lama-lama aku mula terfikir kenapa agaknya MEREKA ini begitu berani menampakkan diri kepada manusia dalam jangka masa yang saya sendiri rasa agak lama iaitu hamper 3 bulan. Aku juga sebenarnya kurang berpuas hati dengan segelintir masyarakat yang terlalu taksub melakukan ritual untuk memanggil sosok-sosok ghaib ini untuk kepentingan mereka sendiri. Aku juga berfikir adakah ritual yang mereka lakukan itu berhasil? Masih menjadi tanda tanya dalam diri aku sehingga kini. Namun, apa yang aku tangkap daripada senario ini adalah di telingaku sentiasa terngiang-ngiang kata-kata ini….

”ANDAI MANUSIA TERLIHAT SECARA TIDAK SENGAJA, KADANG-KADANG KAMI JUGA TIDAK SENGAJA MEMPERLIHATKAN DIRI. KAMI SAMA SEPERTI MANUSIA TETAP PUNYA KEGIATAN JKEHIDUPAN DI ALAM KAMI SENDIRI. BAIK SIANG ATAUPUN MALAM DI DUNIA KAMU MANUSIA. KITA SAMA. NAMUN KAMI TIDAK MENGGANGGU. HANYA MAHU MENUNJUKKAN BAHAWA KAMI ADA. TETAPI MANUSIA ITU BANYAK MAHUNYA. KEMAHUAN YANG TIDAK MASUK AKAL!”

Dari mula kejadian tersebut hinggalah ke hari aku menulis kisah ini. Bisikan ini yang tidak pernah berubah walau sudah belasan tahun. Ya. Benar. Oleh itu sebagai seorang manusia kita dijadikan tinggi darjatnya. Jika mengkehendakan sesuatu mintalah kepada Yang Maha Esa bukan meminta kepada yang bukan ahlinya. Itulah mesej yang dapat aku simpulkan dari kisah ini.

Setelah 3 bulan kawasan danau itu diterangi cahaya setelah selesai bulan habis mengambang atau bulan terang danau itu kembali seperti sebelumnya. Gelap, sunyi dan airnya tetap bergenang tenang. Tiada lagi cahaya, tiada lagi pulau lalang yang sentiasa berubah kedudukannya di permukaan danau, tiada lagi kunjungan masyarakat. Apa yang tinggal setelah kejadian itu, hanya kami yang orang yang sentiasa melalui jalan dan danau ini tak kira masa siang atau malam. Hanya orang kampung dan pekerja ladang yang meneruskan hidup dengan kegiatan harian seperti biasa. Demikianlah kisah benar yang aku sendiri pernah alami hampir belasan tahun lalu dan kini danau itu masih kekal di situ dan aku sudah lebih 10 tahun tidak bekerja dan tinggal di kawasan itu. Kejadian itu? Aku yakin ia tak akan kembali lagi terjadi seperti dulu kerana bisikan yang terngiang-ngiang di telingaku seakan-akan menceritakan segalanya. Wallahualam.  MEREKA di mana? Apakah masih di sana? Aku tidak tahu. Kita masing-masing di alam kita sendiri. Mereka boleh saja berada di mana-mana sama seperti kita juga yang mempunyai tempat dan rumah sendiri. Kalian mahu percaya atau tidak. Itu semua terpulang. Aku tidak mengajak kalian untuk percaya kerana aku hanya menulis dan sekadar berkongsi cerita.

TAMAT.



Selasa, 9 Jun 2020

Puisi : Suara Itu






Suara itu
Sentiasa terasa terngiang di telinga
Wajah itu
Mulus halus polos
Sejernih air di pergunungan
Bersih ibarat kertas tanpa coretan
Tenang tanpa sebarang pergolakan
 Sekali kutenung
Kurenung sedalam-dalamnya wajahmu
Merintih kalbu menahan rindu
Akan rengekan tangisan manjamu dulu
Ingin sekali lagi
Kukucup bibir mungilmu
Ingin kucium lembut pipimu
Entah bila terpatri 
Entah terserlah ajaibnya
Ikatan kasih antara kita
Sungguh aku rindu
Mendakap erat tubuhmu
Agar takkan lagi pergi jauh dariku
Moga bisa lena mengulit mimpi tika beradu
Tenang bagai salju danau rindu

Jumaat, 5 Jun 2020

Puisi : Gurindam Kasih Pelangi



Mana perginya tinta tujuh warna untuk dibalas sepucuk surat pada dia?
Bila angin menari, hatiku pun berlari
Angin bertiup kencang, hati turut tergoncang
Semilir angin basuhlah warna hatinya
Hati, lenakah engkau malam tadi?
Hati, kenapa kau tidak pernah mengerti?
Jendela tetap bersuara kalau angin menyapa
Tintanya daripada pelangi tujuh warna
Kaki lilin tertinggal dalam dulang tembaga
Memahat dalam baris, berkata dalam pusaka
Petik bulan sabit buat lampu malammu
Biarpun angin membisu, awan tetap membiru
Kata diamlah yang paling sular dia telah
Benar! Angin tidak pernah diam
Senyum manis bagai kurma munawwarah
Ketilang nyanyi di pohon cempaka
Lagu hujan sentiasa indah di sisi gemawan putih
Kalau hati ini emmang sebatang pena
Tintanya tentulah daripada pelangi tujuh warna
Lalu kenapa tidak saja dikirimkan
Sepucuk surat cinta pada dia?
Dan...bila langit sudah tidak mahu menangis..
Tika tanjung tidak mahu berbunga lagi
Merpati manja di tapak perawan
Sebarkan kidung ini pada awan yang setia
Ceraikan kelopak mawar dalam hirisan pandan
Kerana matahari memang temannya bulan
Tanyalah pada wakut
Di mana matahari bersembunyi
Tatkala anak-anak merpati putih
Berdansa dan berqasidah
Epilog dan waktu terus berlari
Bagai derap seratus kanak-kanak
Dari batas-batas padi cempa

Selasa, 5 Mei 2020

Puisi : Pergi





Dulu
Janji itu yang kuingat sampai mati
Dulu
Janji itu yang kupegang erat
Dulu
Janji itu yang mengidupkanku kembali
Dulu
Janji itu juga yang kutunggu
Seterusnya
Janji itu masihku nanti
Kini
Janji itu masih membayangi
Kini
Janji itu yang menyakiti
Kini
Janji itu hanya tinggal janji
Kesudahannya
Kubiarkan janji itu berlalu pergi



Khamis, 16 April 2020

Puisi : Terhenti Di Situ (Putera Di Hati Ibu)






 Ya Allah
Rindunya hati ini
Saat kutenung potretmu sayang
Sebaknya dada ini saat kutenung matamu
Sebening sendu di kalbuku
Setulus kasihku padamu
Sehebat gundah di dadaku
Sayang
Andai dapat kuputar waktu
Pasti saja ingin rasaku
Kembali ke masa dulu
Menghitung dan mengumpul
Segala kenangan lalu
Yang sentiasa mekar di ingatanku
Bintang
Andai kau suruh aku pilih
Antara emas dan permata
Pasti takkan kupilih keduanya
Hanya kupilih kenangan bersamamu
Memulihkan segala kedukaan lalu
Layu
Longlai kali ini
Merentas pelbagai jalan berliku
Untuk kuteruskan langkahku
Untuk terus menghampirimu
Agar terus berjalan seiring denganku
Namun
Apalah dayaku
Langkahku terhenti di situ
Mataku terpaku di situ
Nafasku sesak di situ
Rinduku terbengkalai begitu
Tak mampu untuk terus menyatu
Mengumpul kekuatan dan kerinduan hatiku
Kerana yang pasti
Rinduku terus membeku


Puisi :- Beratnya Rindu

Versi lagu puisi Lirik penuh versi lagu puisi sila ke pautan seperti di bawah :- https://share-ai.singgenix.com/?token=S7tvkairNKgyHD1Nc5Bdo...