Jumaat, 3 April 2020

Puisi : Sepi Sang Pelangi







Wahai desa...
Meski pelangi tak muncul di halaman
Namun ia kan tetap ada
Menjeling di sudut kelam
Mencari ruang dan peluang
Bila dan di mana ia bakal menyeri
Wahai desa...
Sungguh bulan muncul berteman bintang
Siang muncul berteman malam
Pasang berteman surut
Maka desa pun begitu
Hadirnya berteman hujan panas
Di kala senja ingin berlabuh
Kala nurani sang pelangi gundah
Kala itu desa nan permai
Tetap bertandang di angan lena

Selasa, 31 Mac 2020

Puisi : Nukilan Desa




Terima kasih pelangi bertandang lagi
Maafkan andai meragut masa
Desa yang sepi kembali terang
Sinarmu pelangi cukup seri
Desa mengerti musim berganti
Pelangi bukan hanya untuk desa yang satu
Jagalah dirimu pelangi berhati-hati
Panas mentari tak terperi
Terbitlah pelangi di ufuk yang satu
Kerana di situ desa bertamu
Hanya kuasa takdir lebih berkuasa
Memisahkan pelangi dari desa nan sepi
Andai pelangi resah semula
Desa ini sentiasa menanti
Andai pelangi menyinarkan sinar-sinar duka
Desa turut suram dan mendung
Namun desa tetap damai semula
Memandang pelangi mengukir indah
Amanlah desa dalam lena dan jaga
Desa tetap merindu sinar berwarna pelangi yang terlihat

Sabtu, 21 Mac 2020

Cerpen : Lif






Kisah saya ni berlaku pada 05 September 2015. Kisah berlaku di salah sebuah hotel terkemuka yang terletak di Sibu, Sarawak. Ketika saya mengalami kisah seram ini sebenarnya terjadi semasa bertugas di luar kawasan bersama dengan beberapa kawan yang lain. Ini merupakan kali kedua saya menginap di hotel yang saya maksudkan ini. Kali pertama kira-kira sebulan yang sebelum kisah ini terjadi, masa tu cuma saya seorang sahaja namun tiada apa-apa yang berlaku. Saya masih ingat lagi kali pertama saya menginap di hotel ini saya ditempatkan di bilik yang berdepan dengan pintu lif dan betul-betul bersebelahan dengan kolam renang yang terletak di Tingkat 3. Dulu tu masa sendirian rasa seram tu ada juga tapi malas nak layan perasaan sangat. Almaklum sajalah, kalau sendirian secara automatik imajinasi kita akan berada di luar akal logik. Kali ini, saya bersama dengan dua kawan yang lain. Bilik saya di tingkat 11 dan kawan saya ditempatkan di Tingkat 9 atau Tingkat 10 masa tu, saya pun dah tak ingat dah dia di tingkat berapa. Seorang lagi kawan, saya ajak bersama-sama untuk menginap dengan saya di bilik pada malam tersebut. Maklum sajalah, kawan lama katakan… lama dah tak jumpa. Sesekali dapat travelling hujung minggu begini nak juga buat reunion sambil borak sampai pagi. Ala, seperti zaman duduk asrama dulu-dulu. Lagi pun keesokan harinya kami dah nak checkout. Tak tidur semalaman pun tak mengapa.

Baiklah, berbalik pada peristiwa yang menyeramkan kami bertiga. Malam itu kami bertiga keluar melawat seorang lagi kawan yang sakit. Maka lepas Maghrib kami bertiga pun keluarlah dari bilik. Kisah kami melawat kawan tu rasanya tak perlulah saya ceritakan ya. Sebab tak ada yang menyeramkan. Semua kisah happy saja walaupun si kawan kami ni tengah sakit tapi sifat lucunya tu tak padan dengan kesakitan yang dia alami. Riuh satu rumah bila kami berborak. Tak terasa masa berlalu. Kalau tak ingat tu rumah orang memang kami boleh borak sampai pagi. Kisah yang menyeramkan ialah selepas kami balik dari melawat kawan kami ini. Sampai di hotel pada malam tu jam kira-kira pukul 1130 malam. Oleh kerana hotel ni tempatnya sangat stategik terletak bersebelahan dengan kedai makanan segera maka kami pun mengambil kesempatan membeli sedikit makanan untuk dibawa balik ke bilik. Tak cukup dengan makanan segera, langkah kami bertiga terhenti lagi pada rak display kek yang terletak di lobi hotel. Dah nak tengah malam, jadi biasanya hotel ini akan jual slice kek dengan harga yang lebih murah. Kawan ajak pula singgah beli kek tu. Masing-masing memang hantu cheese, maknanya cheese cake tak terlepaslah dari pilihan kami, selain tu kami beli juga beberapa biji tart buah dan tart telur. Dapat beli semua tu dengan harga yang murah, kami bukan main seronok lagi! Selesai membuat pembayaran kami terus bergerak ke arah lif yang terletak di hujung sebelah kiri kaunter pendaftaran hotel. Masa nak masuk dalam lift tu sempat terserempak dengan seorang kawan lain yang juga turun nak beli makanan katanya. Tak hairanlah ada yang keluar waktu begini sebab tempat beli makanan pun dekat saja. Lagi pun di bandar besar begini pukul 1130 malam masih boleh dikategorikan sebagai malam masih muda. Kononnyalah... Niat di hati kami sebaik saja kaki melangkah masuk ke dalam lif lepas ni nak balik bilik, mandi air suam sambil berendam sepuas-puasnya dalam tab mandi, duduk atas katil bertiga, tengok televisyen, makan semua makanan yang kami beli tadi dan borak sampai pagi. Esok tak sarapan pun tak mengapa sebab perut dah kenyang. Hah…sanggup tau demi reunion dengan kawan-kawan.

Masuk dalam lif sayalah orang pertama dan diikuti kawan yang dua orang lagi tu. Di sinilah alkisah bermulanya babak yang menguji jiwa raga. Baru saya nak tekan butang nombor 11, saya tertengok butang nombor 1, 2 dan 3 dah automatik menyala. Maknanya dah ditekanlah tu. Saya tak ambil kisah sangat. Mungkin ada yang dah naik awal dari kami tadi dah tekan atau ada yang nak turun tapi turun di tingkat lain. Itu saja yang ada di fikiran saya ketika itu. Bila dah bertiga begini mulut memang tak reti nak diam. Ada saja cerita kami betiga. Tak pandai habis-habis. Tetapi…bila lif berhenti di Tingkat 1, pintu dibuka. Gelap! Tak tahu tingkat 1 ni tempat apa. Mungkin dewan tempat orang selalu mengadakan perkahwinan kot. Saya agak saja. Tak nampak langsung apa yang ada di situ. Dapat tak kalian bayangkan jika kalian berada di ruang yang gelap gelita. Mungkin ini rasanya jadi orang buta agaknya. Begitulah rasa kami bertiga. Sudahlah gelap tak ada orang pun. Memanglah. Takkanlah ruang gelap ada orang ye tak? Sangat tak logik. Punyalah lama pintu lif tak tertutup. Saya yang berada di depan sekali dan berada betul-betul dengan butang no lif ni Allah saja tahu perasaan. Tapi saya beranikan diri menekan butang tutup lif tu beberapa kali. Esh! Degil sungguh butang ni. Rosak atau apa ni, monolog saya di dalam diri. Kawan yang seorang lagi yang berada di tengah-tengah kami apalagi…abis bergegar seluruh badan. Alhamdulillah tutup juga setelah beberapa kali percubaan saya menekan butang tutup tu. Fuh…selamat.

Ingatkan dah habis kisah menyeramkan. Rupanya ada lagi. Tiba di Tingkat 2…Tiba di Tingkat 2, lagi sekali lif berhenti dan pintu lif pun dibuka seperti tadi. Sebaik sahaja pintu terbuka luas kami nampak ruang di Tingkat 2 ini hanya ada 1 lampu sahaja yang menyala. Itu pun cahayanya samar-samar. Dari pandangan mata kasar saya cahaya samar tu seakan berkelip-kelip. Dapat anda bayangkan tak bagaimana lampu berkelip hah macam tu la. Punyalah lama pintu lif ini tak tertutup walau saya dah berkali-kali menekan butang tutup. Kawan yang berada di tengah dah ketakutan, tangan dia merangkul lengan sebelah kiri saya bukan main lagi ketat. Siap bergetar lagi tu. Dahla tangan dia sejuk semacam gara-gara takut sangat. Kawan yang seorang lagi tu berdiam diri dengan mulut terkumat kamit membaca ayat-ayat suci Al-Quran. Saya? Saya masih konon-konon control ayu. Tetap cuba bertenang sebab saya yang berada paling depan. Cun-cun depan pintu dekat dengan butang lif. Tapi dalam hati hanya Allah saja yang tahu. Hairan juga kenapalah lif ni tiba-tiba boleh berhenti di Tingkat 2 ni. Sedangkan masa tu memang dah tak ada orang langsung melainkan kami bertiga yang naik dan seorang lagi kawan tadi yang terserempak dengan kami di bawah turun nak beli makanan. Saya dah rasa lain macam. Seperti ada yang tak kena apabila lif ni lama sangat nak tutup. Saya cuba amati dalam cahaya yang samar namun memang tak nampak sesiapa pun. Kalaulah masa tu ada nampak orang memang sahlah bukan manusia. Akhirnya setelah saya berusaha menekan butang tutup beberapa kali pintu lif pun tertutup dan bergerak ke Tingkat 3.

Lagi sekali lif berhenti dan pintu lif terbuka seperti tadi. Apabila berhenti dan terbuka pintunya di Tingkat 3 ni saya tak takut sangat sebab bilik saya masa mula-mula menginap di sini sebulan lepas memang betul-betul depan pintu lif ni. Masa tu semua bilik di hotel ni fully booked. Sudah pastilah semua bilik ada orang dan semestinya bilik saya yang dulu ni pun ada orang. Itu saya pasti sangat. Sebab tu saya tak berapa takut. Berada di Tingkat 3 ni saya dah agak santai sedikit. Itu saya tetapi tidak untuk kedua-dua kawan saya ini. Kawan saya yang ditengah ni memang masih ketakutan dari tadi. Manakala kawan saya yang seorang lagi merasa pelik. Dia melihat seakan-akan ruang yang ada di hadapan lif ini kecil seperti kami berada di alam lain dan seperti kami di hadapan sebuah lorong dan daun bunga yang ada di berhadapan dengan pintu lif ini seakan bergerak-gerak ditiup angin. Tidak lama selepas itu lif kembali tertutup. Tak ada lagi butang yang menyala nombornya. Hanya butang nombor 11 sahaja yang menyala. Ya betul. Jauh lagi tu dari Tingkat 3 naik ke Tingkat 11. Macam-macam boleh jadi sebelum tiba di Tingkat 11. Jauh di sudut hati saya mengharapkan agar tak ada lagi kejadian seperti tadi. Tak ada lagi permainan main buka tutup pintu lif. Akhirnya lif kami naik ke Tingkat 11 dengan lancar. Apa yang pasti kami bertiga sudah tidak sabar nak keluar dari dalam lif ini. Dalam kepala masing-masing macam-macam perkara yang bermain di fikiran.

Terbuka sahaja pintu lif apa lagi… Kawan yang tengah inilah orang pertama yang meluru keluar. Saya pula berusaha membuka pintu bilik dengan tangan yang terketar-ketar juga. Siapa yang tak kecut perut apabila 3 kejadian pelik berlaku berturut-turut dan sekali masa saja. Nampak saya memang cool tapi dalam hati segala macam ayat Al-Quran yang saya baca. Entah betul entah tidak saya main belasah jer. Dah nama takut memang begitulah. Terbuka saja pintu bilik saya, kawan saya yang di tengah tadi tak payah cakaplah. Meluru dia masuk ke bilik. Terpelanting selipar dia buka terus dia meloncat ke atas katil. Punyalah takut kawan saya yang seorang ni. Saya pula cepat-cepat cari handphone dan mainkan ayat-ayat suci yang saya save dalam handphone. Nasib ada ayat-ayat suci ni dapat juga saya pasang untuk mengurangkan ketakutan. Itu pun nasib baik ada seorang kawan saya yang sarankan agar saya save ayat-ayat suci ni dalam handphone, kot-kotlah berguna suatu hari nanti. Sekarang saya sangat berterima kasih kepada kawan saya ni sebab dia dah tolong mengingatkan saya satu ketika dahulu. Kawan saya lagi satu pula sama juga memanglah takut tapi dia tak nak tunjukkan sangat reaksi takut dia tu sebab yang kawan seorang ni tadi dah tersangat takut. Jadi dia tak nak mengeruhkan lagi keadaan. Saya pula selesai menyimpan semua barang yang kami beli tadi terus mandi membersihkan diri sebab masa tu saya dalam keadaan yang tidak bersih. Biasalah, masalah wanita katakan... Dipendekkan cerita apabila saya dah selesai mandi kami bercerita tentang hal tadi. Sebab masih hairan sebenarnya. Tapi kawan yang sangat takut tadi tu menyampuk ala kadar saja sebab dia sepertinya masih trauma dengan kejadian yang mengejutkan kami tadi tu. Hanya saya dan kawan saya yang seorang lagilah yang rancak berbual sambil makan makanan yang kami berdua beli tadi sebab memang pun kami ni lapar kerana belum makan malam lagi.

Setelah difikir-fikir mungkin juga kejadian itu tadi kebetulan atau memang ‘benda’ tu nak tunjukkan kepada kami bahawa dia wujud. Mungkin juga sebab keadaan saya masa tu yang tidak bersih jadi ‘benda’ ni ikut. Semuanya mungkin.

Keesokkan harinya kami pun checkout. Kami sempat memberitahu kepada pekerja d kaunter hotel ni tentang kejadian malam tadi dan jawapan dari mereka kejadian sebegitu dah biasa di sini. Ya, memang kalau sebut hotel, di mana-mana pun tetap ada hal begini berlaku. Saya dulu pun ketika menghadiri kursus di salah sebuah negeri di Pantai Timur juga turut mengalami kejadian pelik cuma bezanya ‘benda’ tu tak main pintu lif. Kenangan kami bertiga sekawan di hotel ini akan kami ingat sampai bila-bila. Apa yang saya tak sangkal adalah di dunia ni bukan hanya ada kita manusia saja malah kena ingat bahawa ‘mereka’ juga ada. Malah sehingga kisah ini habis ditulis pun saya sendiri mengalami masalah dalam menyudahkan penulisannya. Ia seperti tak nak ditulis dan diceritakan. Hinggakan saya sendiri pun dah ingat-ingat lupa jalan ceritanya. Saya hanya ceritakan sedikit saja jalan ceritanya. Namun saya tetap juga mencuba dan terus mencuba dan hingga ke hari saya berjaya menyiapkannya kisah ini pun sudah 5 tahun berlalu. Kisah ini mungkin tidaklah sangat menyeramkan bagi anda tetapi bagi kami bertiga ia sangat sangat menyeramkan.















Jumaat, 20 Mac 2020

Puisi : Melodi Di Kelam Malam



Versi audiolisasi puisi 
👇👇👇

Versi lagu puisi
👇👇👇

Lirik penuh versi lagu puisi sila ke pautan seperti di bawah :-
👇👇👇


Versi puisi 
👇👇👇

Hening malam ini
Kembali lagi
Sayup irama menusuk kalbu
Selalu kudengar
Sering menjadi peneman malam
Petikan gitar itu membuatku mula rindu
Merdunya alunan si pemilik suara
Terpana seketika
Semuanya kerana kamu
Semuanya hanya kerana itu
Si pemetik gitar misteri
Melodi menggetar sanubari
Sampai kini belum pernah kutemui
Ingin kudampingi
Namun aku hanya pengagum misteri
Pemetik gitar misteri
Terus menjadi misteri
Aku juga kekal begini
Apakah kesudahannya
Biar masa menjadi saksi
Si pemuja misteri
Si pemetik gitar penata angan
Irama peneman lena
Pengukir mimpi



Puisi : Masih Cinta




 Akankah kau ada di saat musim-musim berganti
Saat hari berganti malam yang panjang
Di sisiku saatku sepi dan bersamaku
Di bawah sang badai
Adakah kau juga rasa ini
Bagiku, bagimu, bagi kita hingga nanti
Jujur...
Ku tak mengharap
Hanya berlutut dalam diam dan keheningan
Tak berucap
Ku tak tahu apa
Yang harus kupinta
Dan semua tentangmu saja
Ku tak dapat memohon
Tak kuasa berkata
Jika kau, kemudian tak ada semua
Tak ada aku, tak ada kamu
Tak ada mereka, hanya kita
Ku tak inginkan jika
Tak ada bila dan tak juga mengapa
Aku kan ada di sisimu
Berapa lama pun tak apa
Seberapa jauh perjalananmu
Juga aku takkan bertanya
Bila kau di situ  
Ku hanya ingin di sisimu selalu
Itu bukan alasan bagiku
Keranaku kan tetap menunggumu
Ku tak perlu alasan untuk semua itu
Namun
Jika kau ingin tahu mengapa
Cuba tanyakan hatimu
Mengapa ku tetap sayang padamu




Isnin, 16 Mac 2020

Puisi : Kelmarin



Kelmarin
Banyak mengajar aku tentang dunia
Mengajar aku tentang ceritera suka
Ceritera duka tentang segalanya
Kelmarin
Terukir indah senyuman memori
Mengintai manja di bibir waktu
Menyusun indah lagu rindu
Melakar indah puisi syahdu
Kelmarin
Bagai baru saja berlalu
Bagai masih hangat kenangan lalu
Bagai menyerlah percikan sirna berlagu pilu
Menyentap seketika lena tidurku
Kelmarin
Membuat aku tersentak, mengelak, tergelak
Juga rasa muak
Kelmarin
Indah sungguh taman mewangi
Penuh dengan ragam duniawi
Yang pasti aku masih di sini
Tetap menyulam mimpi sepanjang hari
Kelmarin
Membuatku alpa, leka, gembira berduka
Kelmarin
Hanya secalit kenangan
Sebait puisi, seuntai lagu
Hanya kelmarin
Tiada lagi munculmu menemaniku


Selasa, 3 Mac 2020

Puisi : Pegangan Hati






Lama mana lagi harus kumenanti
Deras masa pergi berdesup
Yang tersiksa kenang-kenangan indah
Indah di waktu itu dapat penuhi masa bersama
Menyemai janji indah mempatri kukuh
Telah kukatakan
Peganglah ikatan ini sekuat hati
Kuatkanlah hatimu ketika itu
Kini baru terbukti
Ikatan janji terpatri hanya…
Impian yang musnah…
Musnah…musnah…dan musnah…

Puisi :- Beratnya Rindu

Versi lagu puisi Lirik penuh versi lagu puisi sila ke pautan seperti di bawah :- https://share-ai.singgenix.com/?token=S7tvkairNKgyHD1Nc5Bdo...