"Abang dah kata Alin takkan dengar. Kamu jangan paksa dia. Keras kepalanya itu sama saja dengan kamu Temah."
"Abang kalau bercakap boleh tak jangan samakan dengan saya? Kita ni sedang pujuk Alin biar dia terima pinangan Burhan tu. Cubalah sama-sama cari akal untuk lancarkan majlis mereka nanti. Doa saja biar jadi. Tak bolehkah abang?
"Baiklah Temah. Abang pujuklah nanti. Alin tu anak kesayangan abang. Siapa tak kenal Alinda Maizura Binti Yakup yang hatinya sekeras batu di tengah lautan? Semua orang kampung kita ni tahu. Tu hah, keluarga Si Burhan tu pun tahu. Tapi, yalah...dah dia nakkan anak kita nak buat macam mana. Kita terima juga mereka datang rumah. Takkanlah nak halau pula orang datang cara baik, kita sambut baik-baik."
"Tapi abang, Temah tengok Burhan tu penyabar orangnya. Sesuai sangatlah kalau dengan Alin yang kepala batu tu. Nanti kalau dia tak sabar, tak menjadi apa anak kita tu."
"Itulah sebabnya abang katakan pada Temah tadi. Perempuan lagi elok kalau pujuk. Mudahan dia nak juga dengar. Nanti abang pujuklah juga sama-sama. Mudah-mudahan lembut hati budak tu nanti"
"Malu kita kalau Alin masih berdegil. Elok sangat dah keluarga Haji Jufri tu nak bermenantukan anak kita yang keras hati ni. Biar di khutbahnya telinga si Alin tu haa...geram Temah ni abang tau tak? Geram."
"Kita ni hanya mampu mengharap dan berdoa semoga dia terima. Tapi kalau dia berkeras tak nak juga, apa boleh buat."
"Dahlah mak, ayah...Cukuplah tu. Alin dah cakap Alin tak nak. Tak naklah. Muktamad. Jangan paksa Alin"
"Alin...?"
"Nanti kalau Alin dah tua, mak ayah pun dah tak ada juga; Alin boleh diam dekat rumah orang tua. Mak dengan ayah tak perlu risau. Tau la Alin uruskan hari tua Alin. Alin tengok ramai lagi orang dekat luar sana yang tak kahwin boleh saja hidup tenang dan damai. Gembira hidup. Dahlah mak, ayah. Alin tak nak bebankan diri. Sudah ya. Keputusan Alin tetap sama. Alin tak nak terima Burhan tu jadi suami Alin dan tak akan terima sesiapa pun dalam hidup Alin. Alin hanya cintakan abang Meor seorang saja seumur hidup Alin.
"Meor dah lama pergi Alin. Sudah-sudahlah tu. Yang pergi tetap pergi tak kembali. Kita yang hidup ni kena teruskan hidup Alin."
"Dahlah tu abang, kalau memang itu keputusan dia esok abang beritahu Haji Jufri keputusan Alin. Kita tak boleh paksa kalau tuan empunya badan dah berkata demikian."
"Baiklah Temah. Harap si Burhan tu terimalah keputusan ini dengan berlapang dada.
#TAMAT
Tiada ulasan:
Catat Ulasan