Mempercayai sesuatu yang di luar akal logik manusia memang sesuatu yang menyukarkan. Itulah yang aku alami apabila salah satu kejadian pelik tapi benar dialami oleh anak-anakku suatu ketika dahulu. Bila berlaku kejadiannya aku sendiri pun dah lupa tarikh dan tahunnya. Aku hanya ingat kejadian itu dialami oleh anak sulungku semasa kejadian beliau bersekolah sesi pagi manakala dua lagi adiknya bersekolah sesi petang.
Dia memberitahu apa pada satu petang sebaik saja aku pulang dari kerja.
"Mummy, petang tadi semasa kakak duduk tengok tv kakak ada tengok orang pakai jubah hitam dekat dapur".
Sebenarnya ruang dapur memang nampak dari ruang tamu jika pintu tengak menghala ke dapur terbuka yang kebetulan tidak ada langsir pintu yang menghalang pandangan. Jadi sudah pastilah kita akan nampak dengan jelas apa yang ada di ruang makan.
Aku yang baru saja melabuhkan punggung di sofa mengerutkan dahi agak terkejut sebab selama ni kakak tak pernah pun mengadu apa-apa yang pelik berlaku dalam rumah. Mengadu pun pasal bergaduh adik beradik, itu sahaja. Kalau nak mengadu hal begitu langsung tidak pernah.
"Kakak pastikah dengan apa yang kakak nampak? Jangan-jangan kakak masa tu tengok cerita hantu tak? Tu yang kakak sampai berhalusinasi terbawa-bawa ke alam nyata. Come on lah kakak, jangan buat lawak dengan mummy. Kakak saja yang dalam rumah takkanlah ada orang lain boleh masuk selain kita sekeluarga".
Aku cuba menyangkal apa yang cuba disampaikan oleh beliau. Aku juga terfikir mungkin itu sekadar bawaan perasaannya sahaja.
"Betullah mummy. Kakak tak tipu. Mula-mula tu masa kakak tengah kemas buku sekolah dalam bilik tidur kakak terdengar bunyi gelang kaki. Kakak ingatkan mummy dah balik kerja. Jadi kakak pergi jenguklah dekat parking kereta tapi tak nampak pun motor mummy. Lagi pun tak dengar bunyi motor dan tak dengar juga bunyi gate rumah dibuka. Lepas tu kakak duduk tengok tv dekat ruang tamu. Kakak bukan tengok cerita hantu pun. Kakak tengok cerita kartunlah mummy. Bukannya cerita seram. Masa tengah tengok tv tu yang kakak tertengok ada perempuan pakai baju hitam berjalan menuju ke sinki. Kakak ingatkan mummy cuci pinggan tadi. Kakak pun pergilah jenguk kat dapur. Tapi tak ada orang pun. Pintu dengan tingkap dapur pun masih tertutup semua".
Panjang lebar cerita si anak kepada aku yang baru balik kerja ni.
"Esshh kakak ni. Mana ada orang lain dalam rumah ni. Mummy pun baru datang kan...Betul kakak nampak ada orang?
Aku masih tak puas hati dengan penjelasan anakku.
"Kakak masih waraslah mummy. Kakak betul nampak dia. Tapi sekilas. Masa dekat sinki tu kakak tak nampak wajah dia sebab dia membelakangkan kakak. Pakai baju hitam panjang lengan lagi. Bertudung ke apakah kakak tak pasti sebab tak fokus sangat bahagian atasnya. Tinggi macam mummy. Ala, macam mummy kalau balik kerja terus pergi sinki nak masak nasi tu. Betul-betul macam mummy. Tapi baju dia panjang. Dress ker jubah...Hah! Lebih kurang macam itulah pakaian dia. Tapi warna hitam semua mummy".
Aku lantas bangkit dari sofa nak masuk ke bilik sebab dah nak masuk waktu Maghrib.
"Oklah mummy percaya cakap kakak. Dah la, jangan fikir sangat. Tak ada apa-apalah. Dah, jom tolong mummy masak".
Aku mematikan perbualan mengenai orang misteri tersebut. Aku pun tak nak anak-anak rasa takut juga dengan sesuatu yang belum pasti. Itu kejadian pertama.
Kejadian kedua pula, anak kedua yang mengalami. Semasa kejadian si kakak dan si adik bersekolah sesi pagi. Manakala dia pula sekolah sesi petang turun tengah hari. Kejadian berlaku semasa dia tengah bersiap-siap nak turun sekolah. Anak yang kedua ni memang pelik sikit perangainya. Sepatutnya dalam bilik mereka adik-beradik dah tersedia meja solek dan sebagainya. Tetapi bilik kami suami isteri juga tempat dia bersiap. Alasannya cermin dalam bilik tu besar. Masa dia tengah bersiap tu dia terlihat kelibat perempuan berbaju hitam melintas di depan sliding window bilik tidur kami yang menghala ke ruang dapur. Perempuan tu berjalan masuk ke dalam bilik mandi. Bila anak yang kedua nampak ada orang lain dalam rumah dia pun terkejutlah. Dia terus masuk ke ruang dapur dan menjenguk ke dalam bilik mandi. Tapi dia tak nampak sesiapa pun. Katanya dia anggap itu salah lihat sahaja kemudian dia pun turun ke sekolah seperti biasa.
Tidak cukup dengan dua kejadian tersebut, sekali lagi ketiga-tiga anak saya mengalami kejadian yang sama pada satu hari ketika musim cuti persekolahan. Ketiga-tiga mereka sedang menyiapkan kerja sekolah masing-masing di ruang tamu semasa hari kejadian. Seperti kejadian pertama dahulu, mereka mendengar bunyi derap kaki di ruang dapur dan terdengar bunyi loceng gelang kaki. Ketiga-tiga mereka saling berpandangan sesama sendiri. Si adik bongsu memberanikan diri menghendap di sebalik pintu tengah pembahagi ruang tamu dan ruang dapur. Dia terpandang kelibat wanita berjubah hitam sekali lagi keluar dari dalam bilik mandi terus menghala ke sinki dan berdiri tegak di situ sebelum menghilang bagai kepulan asap! Si bongsu tak terkata apa-apa setelah melihat kejadian sedemikian berlaku di depan mata. Anak sulung dan anak kedua hanya melihat kelibat itu melintas sahaja tetapi tidak melihat ia menghilang kerana mereka berdua masih berada di ruang tamu ketika itu kerana terlindung dek pintu. Hanya si adik sahaja yang memberanikan diri menghendap. Anak bongsu terpinga-pinga dan dalam masa yang sama juga dia melihat kepulan asap hitam kemudian disertai dengan bau kemenyan dibakar. Dia kemudian terus memanggil kedua kakaknya. Kejadian itu diceritakan oleh mereka bertiga kepadaku sebaik sahaja aku pulang kerja menjelang waktu Isyak.
Setelah tiga kejadian yang pelik tersebut aku mula berfikir apa di sebalik kejadian? Keesokkannya apabila tiba di pejabat aku bercerita kepada salah seorang rakan kerjaku aku minta pandangan dia. Manalah tahu dia boleh bantu aku, paling tidak pun dia mendengar sahaja cerita aku ini. Setelah mendengar ceritaku, dia kata dia boleh tolong tengokkan rumahku dan bertanya siapa yang ada di rumah ketika itu. Aku kata hanya anak-anak sahaja. Suami bekerja dan akan pulang sama jam dengan aku malam nanti selepas waktu Isyak. Rakan kerjaku mengatakan yang dia nak pergi tengok rumah. Dia tak suruh aku ikut, tapi dia nak bawa seorang lagi rakan kerja yang lain pergi selepas waktu Maghrib. Aku pun izinkan dengan harapan dia boleh membantu aku. Selepas Maghrib seperti yang dijanjikan mereka berdua pun pergilah ke rumahku untuk meninjau. Aku dah maklumkan kepada anak-anak juga supaya mereka bertiga tidak berasa risau apabila melihat ada orang di luar rumah nanti. Sebelum Isyak kedua-dua rakan sekerja ku ini kembali semula ke pejabat dan kebetulan aku juga baru habis syif bertugas. Rakan yang nak membantu aku tadi lama terdiam sambil memandang wajahku.
"Sis, rumah kamu dah terkena hantaran. Tapi tunggulah beberapa hari lagi kamu tahulah..."
Aku terkejut.
"Hantaran? Apa? Di mana, bagaimana, untuk apa, siapa hantar dan kenapa rumah kami jadi sasaran?"
Bertubi-tubi soalan kuajukan. Kedua-dua rakanku hanya mengangkat bahu tanda kurang pasti.
"Saya hanya boleh bantu melihat sahaja, yang selebihnya kena minta tolong orang yang lebih arif lagi. Sebab kemampuan saya pun belum sampai peringkat itu lagi. Banyakkan berdoa minta pertolongan dari Allah swt semoga dijauhkan dari perkara yang tidak diingini berlaku. Sis jangan putus harapan ia. Setiap ujian itu hikmah di sebaliknya".
Hanya itu yang rakanku ini mampu ucapkan bagi menjawap persoalanku yang banyak tadi.
Setelah malam tersebut, selang beberapa minggu ketika sedang mengemas dan memindahkan semula tanaman hiasan di halaman rumah, adik ipar terjumpa sebiji telur ayam ditanam di bawah pasu bunga. Dia terjumpa ketika sedang mencangkul tanah untuk dipindahkan ke dalam pasu yang lain. Telur itu terkena cangkul namun yang menghairankan langsung tidak pecah! Memang mengejutkan bagaimana telur ayam boleh berada di situ dan juga ditikam ke simen serta kena cangkul pun tidak pecah! Suami yang turut serta bersama kami ketika itu langsung ambil telur tersebut dan membuangnya ke dalam tong sampah di hadapan rumah. Memang kami tak buat apa-apa pun pada telur itu. Hanya buang begitu sahaja. Setelah kejadian itu, tiada lagi kelibat wanita berjubah hitam tetapi bau asap kemenyan sesekali dapat dihidu pada malam jumaat. Masih menjadi persoalan kami anak beranak hingga ke hari ini apakah motif di sebalik penampakan tersebut, motif di sebalik penemuan telur dan ada apa sebenarnya di sebalik bau kemenyan itu.
Mungkin kalian menyarankan agar menyuruh pengamal perubatan untuk menyelesaikan hal inikan. Itu cerita dulu dan kami sekarang pun sudah tidak tinggal di situ lagi. Tak tahulah sama ada kejadian yang sama masih menghantui penghuni rumah itu atau tidak.
Tamat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan