Isnin, 18 November 2019

Puisi : Sebeginikah?






Kau aku mereka
Ibarat permainan tarik tali
Aku di antara kalian
Seolah-olah berada di persimpangan
Dan akhirnya bertemu jalan mati
Benar
Ingin kuberhenti di sini
Kerana aku sebagai tali
Dan kalian bertelagah bermegah
Bercanggah dengan tegang
Tak mampu untukku tenang
Biar riak wajah seakan tenang
Biar riak wajah seakan senang
Tolong
Tolong hentikan sandiwara ini
Tiada kesudahan drama naluri
Andai terusan begini
Tanpa ada penghujung abadi
Mangsa
Ya memang benar aku mangsa
Mangsa kepada keadaan
Mangsa pertelingkahan
Ibarat aku boneka semata
Yang tak punya erti segala
Ibarat catur yang perlu diatur
Sedang aku
Tetap harus memilih
Jalan yang lurus tanpa liku
Jalan yang lurus tanpa buntu
Biarkan aku
Biarkan aku sendiri begini
Dan jangan cari aku lagi
Bukan aku menghindar
Bukan aku membenci
Kerana aku memerlukan
Pengabdian ku sendiri


Puisi : Rona Insani






Mencari titik silang
Ternyata itu membuatku terleka
akan perantara khayal atau nyata
Mencari pusaran waktu
Agar mampu membuka ruang itu
Semoga hati lara bersemi di situ
Lantas kuakui
Lentera jiwa bahasa abadi
Menusuk dalam ke sanubari
Melantun seribu persoalan insani
Akan terungkaikah
Akan terbiaskah
Akan terpatrikah
Akan bersimpulkah
Entah
Semua aturan Ilahi
Hanya kumampu berserah
Menuruti aturan duniawi
Berarak sejajar
Merintis perjalanan tertulis
Sedari azali
Kucari pemuja nusantara
Kucari pelukis karya
Tanpa pewarna dan pena
Kucari pengaku karya
Tanpa dia dan mereka
Kucari pencipta budaya
Pencipta fantasi
Kucari pencitra sonata
Pencitra ilusi

Ahad, 17 November 2019

Isnin, 4 November 2019

Puisi : Titian Perjalanan






Sejenak melayangkan pandanganku
Nun jauh melepasi laut nan membiru
Tatkala aku merenung masa laluku
Dan juga membayangi apa yang bakal terjadi di masa datangku
Namun , bila kuimbau hari kelmarin,semuanya menjadi kelam
Dan bila kurenung di masa depanku..semuanya masih suram
Di mana?
Di mana harus kutahu itu semua?
Atau adakah aku yang terlalu teruja?
Bias-bias rindu menyelubungi diriku
Kerinduanku pada masa yang lalu
Kerinduanku pada sesuatu, pada dia dan pada segalanya
Di saat kurasa rindu ini mencengkam meruntun jiwaku
Haruskah aku menjalani semua itu?
Mengharap kasih yang tidak bertepian
Segalanya terbengkalai di situ
Menitip kemesraan sekelumit cuma
Meniup cinta yang ternyata tidak membara
Keterlaluankah untukku mengukir jiwa?
Membolosi bibit cinta kita
Menerobos dinding bahagia
Menerjah anjung persada mahligai indah kita
Mengota janji yang terpatri hingga ke hujung nyawa
Kejamkah aku menjiwai semuanya itu?
Sadiskah aku menguntai sejambak pilu?
Bingitkah telingaku dengan bisikan asmaramu?
Hingga aku terjelepuk di baldu rindu
Menganyam buih-buih sirna kalbu
Namun, segalanya bak pesona di layar kaca
Sekadar menebar cahaya cinta
Melakar indahnya asmara
Yang nyata, aku masih utuh di sini
Merona jiwa membilang gelora
Moga kau tahu, seperti seluasnya lautan biru
Terbentang bak awan di langit rindu
Ibarat pantai yang tiada bertepian memecah sukma

Puisi : Rindu





Kelmarin
Banyak mengajar aku tentang dunia
Mengajar aku tentang ceritera suka
Mengajar aku tentang ceritera duka
Mengajar aku tentang segalanya
Kelmarin
Terukir indah senyuman memori
Mengintai manja di bibir waktu
Menyusun indah lagu rindu
Melakar indah puisi syahdu
Kelmarin
Bagai baru saja berlalu
Bagai masih hangat kenangan lalu
Bagai menyerlah percikan sirna berlagu pilu
Menyentap seketika lena tidurku
Kelmarin
Membuat aku tersentak
Membuat aku mengelak
Membuat aku tergelak
Membuat aku rasa muak
Kelmarin
Indah sungguh taman mewangi
Penuh dengan ragam duniawi
Yang pastiku masih di sini
Tetap menyulam mimpi sepanjang hari
Kelmarin
Membuatku alpa
Membuatku leka
Membuatku gembira
Membuatku berduka
Kelmarin
Hanya secalit kenangan
Hanya sebait puisi
Hanya seuntai lagu
Hanya kelmarin
Tiada lagi munculmu menemaniku

Puisi :- Beratnya Rindu

Versi lagu puisi Lirik penuh versi lagu puisi sila ke pautan seperti di bawah :- https://share-ai.singgenix.com/?token=S7tvkairNKgyHD1Nc5Bdo...