Rabu, 30 Oktober 2019

Connect with me on social media

First off all I wanna say thank you to my family and friends who always support and believe in me that I can do anything that I can't imagine before.
To all SUBSCRIBER in this channel, without you guys my channel will be nothing.
Thank you so much.
----------------------------------------------------
Connect with me on:-
YouTube : https://www.youtube.com/channel/UCoU6xSyRNG77Pb4B2mHkjxw
Blog :- https://lenterakalbushaz.blogspot.com/
FB :- https://www.facebook.com/lenterakalbushaz/
----------------------------------------------------
* Presenter
* Freelance writer - Poems & short stories
* Blogger
* YouTuber

Selasa, 29 Oktober 2019

Cerpen : Geng Motor Besar Ke?






05 Februari 2013 adalah satu tarikh yang tak akan kulupakan. Mungkin kisah kali ini tidak berapa seram pada yang berani. Namun pada yang kurang berani agak menyeramkan. Kejadian berlaku di salah sebuah hotel murah yang terletak di sebuah negeri Pantai Timur Malaysia.
Semuanya bermula apabila aku menghadiri satu kursus anjuran tempat kerja aku yang diadakan di Pantai Timur. Pada mulanya agak risau juga aku nak pergi sendiri. Tetapi memandangkan sudah arahan maka aku pergi juga. Berbekalkan sedikit keberanian dalam jiwa yang kononnya pergi bekerja sambil melancong dalam negara, berkobar-kobar juga semangat aku nak tengok tempat orang. Maklumlah, tak pernah lagi aku menginjak kaki ke tempat orang sejauh ini, seorang diri pula tu.
Pada hari tersebut, perjalanan dari tempat aku ke KLIA mengambil masa kira-kira 2 jam penerbangan. Aku masih ingat lagi waktu itu aku ambil penerbangan pukul 09.15 pagi dan tiba di KLIA pukul11.20 pagi. Memandangkan penerbangan aku ke Pantai Timur pukul 18.35 petang dan dijangka tiba di sana pukul 19.30 malam maka aku ambil keputusan untuk berjalan-jalan terlebih dahulu di sekitar KLIA. Almaklumlah masa masih ada dan masih lama lagi jadi, aku tak lepaskan peluang yang ada sementara menunggu penerbangan yang seterusnya.
Apabila masanya telah tiba, syukur Alhamdulillah penerbangan aku ke Pantai Timur berjalan dengan lancar walau pun cuaca ketika itu hujan. Syukur mendarat dengan selamat. Akhirnya aku menjejakkan kaki di negeri ini. Seronok sangat rasanya. Tiba di sini aku memang dah awal tempah bilik itu pun hasil dari Encik Google. Berjaya juga aku mencari tempat penginapan yang berdekatan dengan hotel tempat aku berkursus. Bila tiba di hotel penginapan yang aku tempah hasil dari Encik Google aku terus check in. Hotel murah je dan masa tu ramai yang menginap. Sebab masa aku pergi tu sedang berlangsung perlumbaan berbasikal Le Tour De Langkawi dan negeri ini adalah salah satu laluan perlumbaan ini. Jadi memang semua hotel penuh dan aku bernasib baik sebab hasil pencarian aku dari Encik Google ada 1 bilik kosong.
Berada di bumi tuhan di negeri ini membuatkan aku rasa menjadi orang asing sekali. Hanya doa saja kupanjatkan moga Allah sentiasa melindungi aku. Sebaik saja dapat kunci bilik aku terus masuk ke bilik dan kemas apa yang patut. Memandangkan aku tiba di hotel dah pukul 9.30 malam maka aku tidak bercadang nak keluar cari makan sebab aku pun sudah keletihan menempuh perjalanan yang berjam-jam dalam penerbangan. Maka aku mengambil keputusan untuk berehat saja dalam bilik sambil menjamu selera dengan Mee Maggi Cup yang aku bawa sedia dalam luggage aku. Cukuplah dengan bekalan makanan yang ada untuk mengalas perut sementara menunggu hari siang keesokkannya. Selesai menjamu selera ala kadar aku membersihkan diri dan seterusnya nak tidur awal. Oleh kerana aku diserang migrain pada malam itu, maka aku memutuskan untuk tidur dengan memadamkan api dan juga televisyen. Aku tak nak tidur dengan cahaya lampu. Hanya lampu bilik mandi yang aku buka tapi pintu bilik mandi aku tutup kerana tak nak silau. Sememangnya aku memang bukan jenis yang tidur suka buka lampu. Kalau lampu terbuka tak dapat tidurlah aku jawapnya.
Niat di hati nak tidur nyenyak hingga ke pagi tanpa gangguan memandangkan malam tu semua dalam keadaan terkawal kononnya. Tapi bila dah tidur, antara sedar dan tidak aku terdengar bunyi derap kaki orang berjalan di luar bilik hotelku dan kemudian dalam kegelapan aku buka mata yang seakan-akan silau aku tengok sosok tubuh seorang lelaki masuk ke bilikku. Sosok yang lengkap berbaju jaket kulit memegang topi keledar di tangan sebelah kanannya. Aku cuba membuka mata dan meronta-ronta cuba bangun dari tempat tidurku. Aku terkejut. Kenapa boleh orang lain masuk kedalam bilik aku sesuka hati sedangkan bilik aku dah kunci dari dalam. Mustahil sungguh dia boleh masuk. Sungguh tidak masuk akal!
Aku tak nampak jelas wajah lelaki itu. Apa yang aku tahu, dia berbadan tegap, tinggi, berpakaian lengkap dengan jaket kulit bersepatu ala-ala “rider” gitu. Aku cuba untuk bangun dari tidurku dan aku merasakan yang lelaki itu melabuhkan badannya di sebelah aku. Aku apalagi, tambah terkejut dan takutlah.
“Eh! Mamat ni dah kenapa? Masuk bilik orang suka hati lepas tu baring atas katil orang suka hati? Entah-entah dia ni nak rogol aku kot. Kalau tak pun dia nak bunuh aku. Ya Allah selamatkanlah aku, tolong aku Ya Allah. Allahu akbar!”
Akhirnya aku berjaya terjaga dan terus bangkit dari katil. Aku terus menghidupkan lampu sisi katil dengan tangan yang terketar-ketar takut dan risau. Mata aku memandang ke sebelah tempat aku berbaring tadi. Tak ada orang! Eh! Aku tadi mimpi atau apa ya? Aku masih terasa lagi haba panas badan lelaki itu berbaring di sebelahku. Masih aku terasa lagi tilam di sebelah aku panas seakan ada orang berbaring. Dadaku berombak kencang. Takut, risau semua perasaan bercampur baur. Hairan juga aku. Memanglah lelaki itu tak buat apa-apa pun pada aku. Kerana apa yang aku ingat dia masuk bilik pegang topi keledar lepas tu terasa di berbaring di sebelah. Itu sahaja.
Berbekalkan sedikit keberanian aku bangkit ke suis utama tepi pintu masuk bilik aku hidupkan lampu. Kemudian aku tengok pintu masih lagi terkunci dari dalam. Aku tak puas hati, aku buka pintu kemudian aku jenguk keluar pintu bilik. Tak ada orang pun. Jam dah menunjukkan pukul 2.15 pagi. Suasana sunyi. Orang sedang tidur kot. Ya Allah, siapalah orang tu tadi ya? Hantu? Bila keadaan aku dah kembali stabil aku dah boleh berfikir waras dan dah kembali tenang, baru aku terfikir sesuatu. Mungkin ‘Dia’ datang sebab bilik aku gelap. Memang gelap sebab aku tutup semua lampu termasuk televisyen. Jadi, aku ambil keputusan menghidupkan televisyen, kubiarkan terpasang tapi suaranya aku kecilkan dan pintu tandas aku buka supaya cahaya lampu dari bilik mandi masuk ke ruang tempat tidur aku. Lampu utama bilik dan lampu sisi tetap aku padamkan sebab aku memang tak boleh tidur dengan lampu terpasang. Gigih juga aku nak lelapkan mata semula sebab silau kena cahaya dari televisyen yang terpasang. Namun aku paksakan juga sebab pagi esok aku kena bangun awal dan berpindah ke hotel tempat aku berkursus di seberang jalan hotel tempat aku menginap ini.
Bangun pagi itu kepala agak sakit sebab gangguan yang aku alami malam tadi. Setelah kemas barang-barang aku ‘check out’ sekitar pukul 10 pagi. Masa check out itu lama juga aku menunggu giliran aku sebab ramai mat motor yang ‘check out’. Aku dengar dari perbualan mereka sebenarnya mereka peserta konvoi motorsikal berkuasa tinggi yang menyertai pasukan perlumbaan Le Tour De Langkawi ni. Mereka nak bergerak ke lokasi lain pula hari ini setelah dua malam mereka menginap di sini. Lebih kurang 30 orang kesemuanya. Padanlah bilik semua penuh masa aku mula-mula tempah dulu. Sampai di hotel malam tadi, empat letak kereta depan hotel ni memang penuh dengan motorsikal berkuasa tinggi. Rupa-rupanya mereka ini yang punya motor tu.
Bergerak saja kumpulan ini aku pun menyerahkan kunci bilik aku. Aku memang akan menginap lagi di sini malam sebelum aku balik nanti dengan harapan agar tak ada lagi gangguan seperti yang aku alami malam tadi. Aku minta juga bilik yang sama aku tempati malam tadi untuk memudahkan aku bergerak ke kaunter hotel ni dan aku nak bilik ni sebab bilik ni paling depan. Aku perempuan jadi rasa takut juga nak duduk di bilik yang jauh dari kaunter manalah tahu kalau ada apa-apa berlaku senang aku minta bantuan.

 Apabila aku sudah bergerak ke hotel tempat aku sepatutnya menghadiri kursus aku terus teringat kisah malam tadi. Timbul satu pernyataan yang agak tidak logik dalam fikiranku. Aku membuat kesimpulan bahawa malam tadi kemungkinan adalah roh orang yang dah meninggal mungkin akibat kemalangan yang berkemungkinan pernah menginap di hotel itu. Roh itu kembali mungkin juga kerana ramai geng yang bermotosikal berkuasa tinggi menginap di situ. Mungkin mereka kawan dia siapa tahu? Itu yang dapat aku simpulkan dari akal aku yang tak berapa nak logik ini dan aku juga percaya kejadian ini memang pernah terjadi. Kali ini aku yang mengalami kejadian sebegini dan aku nak beritahu juga bahawa di dunia ini kita hidup bersama ‘mereka’. Ada yang boleh nampak, ada yang boleh merasai kehadiran mereka dan ada orang yang tidak pernah merasai pun kehadiran mereka. Bukan aku nak mengajak agar semua orang perlu percaya dengan apa yang tidak boleh kita lihat dengan mata kasar. Aku cuma mahu orang perlu percaya apa yang tidak boleh kita lihat dengan mata kasar memang ada. Aku juga sekadar berkongsi dengan kalian apa yang aku pernah rasai dan alami sendiri.

Tamat





Cerpen : Tolong Pulangkan Hatiku





PROLOG
Kerinduan yang terbuku ternyata amat menyakitkan. Sukar untuk digambarkan dengan kata-kata. Jika pernah merasakan, pasti tahu bagaimana rasanya. Mundar mandir di serambi rumah gelisah semacam menyebabkan rambut Syahmil kusut kerana selalu diramas walaupun tidak gatal. Memang pelik kalau orang sedang mabuk asmara.
“Kamu ni kenapa Syah? Mak tengok resah semacam je.”
“Ehemmm…eh mak! Terkejut Syah. Tak ada apa-apalah...”
“Alamak, kenapa aku boleh terkantoi pula.”
“Kamu ni semacam je mak tengok. Betul taka pa-apa? Kamu sakit? Kalau sakit pergilah ke klinik. Jangan dibiar nanti melarat. Cuba kamu beritahu mak kalau ada masalah. Mak sedia mendengar.”
“Okey jer mak. Jangan susah hati. Syah sihat dan tak ada masalah. Cuma penat saja. Banyak sangat kerja yang tak siap lagi di pejabat tu.”
Sambil menggelengkan kepala Mak Senah berlalu pergi tanpa sepatah kata. Hati ibu mana yang tak risau kalau tengok anak bujangnya sebegitu rupa. Entah apalah yang difikirkan oleh Syahmil sampai begitu sekali keadaannya.
“Mak, Syah keluar dulu ya. Tak perlu tunggu Syah makan malam. Syah nak jumpa kawan.”
“Yalah, jangan balik lewat sangat. Esok nak kerja. Tak faham sungguh aku tengok anak bertuah ni. Tadi gelisah semacam, ni nak keluar pula. Apa yang penting sangat sampai tak boleh tunggu esok?”

BAB 1


 “Hei bro, lama dah tunggu?” tegur Syahmil seraya menepuk bahu Badrul.
“Kalau tak mengejutkan aku begini tak sah ya? Kalau iya pun berilah salam”. Seakan tak puas hati dengan tindakan Syahmil begitu, Badrul menarik muka masam.
“Eleh, yela tu. Macamlah baru kenal aku. Kau tu yang mengelamun jauh sampai tak sedar aku dah tercegat kat tepi ni. Teringat makwe?” Usik Syahmil.
“Aku ni mana ada makwe. Muka macam tenuk begini adakah makwe sangkut kat aku?” Bidas Badrul sambil merenung jauh ke hadapan.
“Kau tu memilih sangat. Kita ni bukannya muda lagi. Dah nak masuk kelab 40 tau. Cari-carilah yang berkenan di hati. Takkanlah nak membujang sampai ke tua?” Lagi Syahmil mengusik Badrul.
“Amboi mulut. Tak ada insurans langsung. Paku dulang paku serpih, mengata orang kau yang lebih. Kau dengan aku dua kali lima, sampai sekarang tak berpunya dah kenapa? Nak kata tak hensem, hrmmm boleh tahan juga aku tengok. Eh, kalau aku perempuan aku nak kat kau tau tak,” Badrul memulangkan paku buah keras.
“Oitt aku bukan geng kunyitlah. Jangan nak buang tebiat pula. Eee geli aku dengar. Cinta aku hanya untuk Syamiza. Tak ada orang lain boleh ganti tempat dia di hati aku,” luah Syahmil dengan nada mendatar. Sedikit keluhan kedengaran.
“Syah, aku ni bukanlah nak memandai tapi aku nak ingatkan kau yang Syamiza tu sekarang ni bini orang tahu tak? Jangan nak mengejar kepunyaan orang. Bahaya. Jangan jadi perosak kebahagiaan orang. Aku nak nasihatkan, kau lupakanlah Syamiza tu Syah. Jangan teruskan rasa hati kau tu pada dia. Kalau setakat rakan sekerja ok aku boleh terima. Tapi kalau kau nak teruskan cinta terlarang kau tu, tolonglah…tolonglah hentikan. Berlambak lagi kat luar sana perempuan yang lagi baik, lagi cantik dari Syamiza,” tegur Badrul pada sahabatnya itu.
“Hubungan kami bukan setahun dua Bad. Kami dah lama kenal. Lebih dua puluh tahun. Kau ingat aku senang-senangkah nak lupakan dia. Aku tahu dia dah bersuami tapi itu bukan bermakna hubungan mereka akan kekal ke akhir hayat. Tak bolehkah aku menaruh harapan agar Syamiza kembali kepadaku?” bidas Syahmil.
“Kalau aku kata kau buta, kau bodoh, kau marah aku. Tapi itulah hakikatnya diri kau yang sebenarnya. Kau lupakan saja dia Syah. Kalau suami dia tahu mati kau Syah. Mati! Eh…tapi takkanlah Syamiza tu masih syok kat kau kot?” Badrul seakan-akan tidak berpuas hati dengan tindakan sahabatnya itu.
“Bad, Syamiza sayang aku. Aku tahu walau dia tak pernah luahkan rasa sayang dia pada aku. Aku tahu hati dia Bad, aku sayang dia. Aku yakin kalau kami boleh kembali bersama seperti dulu, kami boleh bahagia malah aku jamin dia akan berasa lebih bahagia dari kebahagiaan yang dia alami sekarang. Mana mungkin semudah itu dia lupakan aku Bad, mana mungkin semudah itu dia lupakan kenangan manis kami bersama selama ini Bad. Aku nak lari ke mana bawa hati aku ni Bad. Cuba kau beritahu aku. Kami masih bekerja di bawah satu bumbung, ke sana ke mari sentiasa bersama. Mana mungkin aku dapat melupakan dia. Eh! Bad, suami dia belum tentu baik Bad. Mereka tak sepadan langsung kau tahu tak? Syamiza tu Eksekutif tau? Dia? Dia cuma pekerja bawahan saja. Tak padan langsung. Syamiza tu padan dengan aku. Aku Pegawai Kanan. Hah! Padankan?” Syahmil dengan angkuh membidas Badrul.
“Hrmmm, terpulanglah Syah, aku cuma mengingatkan saja. Selebihnya kau fikirlah sendiri. Aku tak nak kau kacau rumah tangga orang Syah,” jelas Badrul padanya.
“Aku tak dapat lupakan dia. Kami masih menyintai. Aku pasti! Bagaimana aku nak nafikan perasaan aku kalau hari-hari yang aku lalui sentiasa ada kelibat dia di hadapanku? Kau tak pernah rasa apa yang aku rasa, sebab tu kau kata macam tu,” luah Syahmil.
“Dahlah Syah, aku rasa tak sampai ke penghujungnya masalah kau ni. Lupakan sajalah. Kau datang jumpa aku sebab nak ajak makan jadi, aku tak nak berbahas tentang cinta. Sekarang aku nak makan. Rupa-rupanya kau tadi 
            Suasana di Kafeteria Zona ketika itu begitu tenang ditambah lagi dengan alunan muzik Jazz yang menenangkan perasaan pengunjung. Mereka berdua menyepi seketika sambil menjamu selera. Memang itu hajat Syahmil mengajak Badrul keluar pada malam itu kerana dia perlu meluahkan apa yang terbuku di hatinya. Dia perlu meluahkan perasaannya agar dia dapat tidur dengan lena malam ini. Tapi, sebenarnya dia meluah pada orang yang salah. Meluah pada sahabatnya bukan pada Syamiza. Jam menunjukkan pukul 11 malam dan mereka beredar ke kereta masing-masing.

BAB 2


 “Tahniah, Akhirnya tender kita diterima oleh Ixora Holding untuk projek pasar raya baru itu. Datuk Kimran berpuas hati dengan apa yang telah kamu bertiga bentang baru-baru ini.” Datuk Hisham tersenyum lebar sambil menyerahkan fail projek kepada Badrul.
Badrul, Syahmil dan Syamiza baru saja hendak menapak ke kerusi masing-masing. Tepukan gemuruh memenuhi ruang mesyuarat pada pagi itu. Semua mata tertumpu pada mereka bertiga yang baru masuk serta tak sempat lagi nak duduk. Mereka bertiga bertukar pandangan antara satu sama lain bagaikan tidak percaya dengan apa yang mereka baru dengar sebentar tadi. Bagaikan mimpi di siang hari. Namun itulah hakikatnya.
“Syukur Alhamdulillah. Betulkah ni Datuk?” Tanya Badrul seakan tak percaya dengan apa yang dia baru dengar sebentar tadi.
      Datuk Hisham mengangguk. Itulah sebenarnya tujuan asal dia memanggil semua kakitangan berkumpul di bilik mesyuarat pada pagi ini. Menyampaikan berita gembira dan itu merupakan projek besar yang pertama mereka dapat pada tahun ini. Terpancar cahaya kegembiraan dan kelegaan di wajah ketiga-tiga sahabat tersebut dan begitu juga dengan kakitangan yang lain.
“Sudah tanggungjawab kami untuk melakukan yang terbaik untuk perusahaan kita Datuk. Tugas yang Datuk amanahkan akan kami lakukan sesempurna yang boleh selagi kami terdaya,” jelas Syamiza.
“Bukan mudah nak dapatkan tender tu Datuk. Ramai pesaing hebat. Agak sukar juga saya nak memberikan keyakinan masa perjumpaan kami tempoh hari. Macam tak percaya, mereka berikan kepercayaan pada kita kali ini,” tambah Badrul. Lapang dadanya tatkala semua usul yang dia utarakan diterima pakai oleh semua pihak.
“Memandangkan kita telah berjaya mendapat kepercayaan dari Ixora Holding, maka dengan ini saya mengumumkan bahawa malam minggu nanti saya bercadang nak buat kenduri kesyukuran di rumah saya. Kerana saya percaya semua kejayaan yang kita perolehi selama ini adalah rezeki dari Allah. Jangan lupa datang malam minggu selepas Maghrib,” umum Datuk Hisham kepada semua pekerjanya.
Bilik mesyuarat Gimara Holdings pagi itu ternyata dipenuhi aura positif dek berita gembira yang disampaikan oleh Datuk Hisham.

BAB 3

“Waktu ni juga kereta nak buat hal. Tadi masa nak turun elok saja. Tiba-tiba enjin mati apa kes? Arrghhh!” Gerutu hati kecil Syamiza sambil menekan telefon bimbit untuk menghubungi suaminya, Hazif.
“Assalammualaikum, abang dekat mana tu? Enjin kereta Sya matilah abang. Dah cuba 
“Waalaikumusalam. Abang 
“Sya di jalan menghala ke kawasan perumahan Datuk Hisham ni bang. Sya takutlah. Abang datang terus ke sini ya. Sya tunggu dalam kereta. Jangan lama sangat,” bergetar suara Syamiza di hujung talian.
“Erm, yelah. Sayang tunggu situ. Hati-hati,” jawab Hazif di hujung talian.
      Tiba-tiba dalam keadaan kalut begitu Syamiza melihat ada kereta datang dari arah belakang dan seraya dia menoleh kereta itu berhenti betul-betul di belakang kereta dia. Oleh kerana silau terkena cahaya lampu maka tidak jelas siapa empunya kereta.
“Sya, kenapa tercegat tepi jalan ni?” Sapa suara lelaki sambil menjengah dari tingkap keretanya.
“Macam suara Syahmil…Syah ke tu?” Tanya Syamiza sambil tangannya diletakkan di atas kening seraya menunduk melawan pancaran lampu kereta itu.
“Yalah, siapa lagi,” jawab lelaki itu.
“Kalau ya pun, turunkanlah lampu tu. Silaulah,” sedikit meninggi suara Syamiza.
“Opss 
“Sakit mata tau, saya ingatkan penyangak mana tadi. Buat saya takut je,” omel Syamizal dengan mulutnya sedikit terjuih.
“Marah? Maafkan Syah. Tak sengaja. Kenapa pula berhenti tepi jalan ni? Ingatkan Sya dah sampai di rumah,” bertalu-talu soalan Syahmil sambil dia berjalan menghampiri Syamiza.
“Kereta ni buat hal. Enjin tiba-tiba mati. Dahlah malam macam ni kereta nak buat hal. Kalau siang tak apa juga. Suami Sya pun dalam perjalanan ke sini,” jelas Syamiza dengan riak wajah yang gelisah.
“Tak mengapalah…kita tunggu sini sama-sama. Saya temankan Sya sementara menunggu suami Sya sampai,” Syahril cuba menenangkan Syamiza.
          Mereka berbual seraya menunggu Hazif tiba. Perbualan mereka berkisar mengenai projek pasar raya yang baru diterima tempoh hari. Ada saja intipati tambahan tentang projek tersebut yang mereka bualkan. Bijak, cekap dan lincah. Itulah Syamiza yang dapat Syahmil gambarkan. Namun sayang, dia bukan lagi kekasih hatinya seperti dulu-dulu yang boleh diajak berbicara bahasa hati. Apa yang tinggal sekarang hanya Syamiza yang bergelar rakan sekerja dan bukan lagi kekasih hati. Sayang seribu kali sayang dia sudah menjadi milik orang. Sayang juga kerana Syamiza tidak tahu sedalam mana kasihnya pada dia. Pandangan mata yang redup milik Syamiza direnung oleh Syahmil walau mata itu bukan memandangnya.
“Arghh! Begitu pantas masa berlalu. Bagaikan baru semalam percintaan kita,” getus hati kecil Syahmil sambil memerhatikan Syamiza dalam kelam. Nasib baik Syamiza tidak perasan dengan pandangan matanya ketika itu.
Setelah agak lama menunggu hampir sejam, akhirnya Hazif tiba.

BAB 4

“Ermmm…kenapa abang?”
“Abang tanya satu soalan sayang jangan ambil hati ya.”
“Tanyalah.”
“Eshh, abang ni. Tak baik tau berprasangka buruk macam tu pada dia.”
       Syamiza membidas apa yang disebut oleh suaminya. Sambil mengenggam jemari isterinya, Hazif mengecup dengan penuh kasih sayang.
“Hati seorang suami tak siapa mengerti. Abang dapat rasakan dan sebab itu abang tanya sayang. Sayang masih cintakan dia?”
“Apa abang ni? Tanya Sya soalan macam ni. Kalau Sya sayang dia taklah Sya dengan abang sekarang. Cubalah abang percayakan Sya. Cemburu abang tu tak bertempat tau tak? Dia dengan Sya sekarang tak lebih dari rakan sekerja saja abang.”
“Kalau dia masih mengharapkan sayang kembali bagaimana?”
“Abang, cinta Sya, sayang Sya hanya milik abang seorang. Itu cerita dulu. Ya dulu kami pernah bercinta tapi Sya pilih abang kerana abang terbaik buat Sya. Abang jangan pernah ragu pada Sya. Sya cinta abang sepenuh hati Sya. 
“Sayang adalah Eksekutif syarikat. Ada pangkat, berpelajaran, gaji besar, ada rupa. Abang sekadar orang biasa. Pekerja biasa. Kita tak sepadan. Mustahil sayang boleh lupakan Syahmil. Dia setaraf dengan sayang kalau dibandingkan dengan abang yang bukan siapa-siapa. Kita bagaikan pipit dengan enggang. Sayang tak menyesal kahwin dengan abang?”
“Kenapa abang suka fikir yang bukan-bukan? Abang kenapa menolak suratan takdir? Kita sudah dijodohkan bersama maka kita terima sajalah. Wasiat orang yang dah meninggal jangan dibuat main abang. Sya terima abang kerana Sya hormat keputusan yang arwah ayah buat. Kalau Sya boleh terima abang sebagai suami kenapa tidak abang? Jangan mempertikaikan ketentuan Allah.”
“Baguslah kalau sayang terima abang seadanya,” jawab Hazif sambil berlalu ke anjung rumah.
       Hanya pandangan Syamiza menghantar Hazif ke anjung rumah. Dia tahu jauh di sudut hati Hazif sentiasa risau tentang Syahmil. Suami mana yang tidak risau jika isteri bekerja satu bumbung dengan bekas kekasih. Kalau dia pun, memang dia akan berprasangka begitu. Namun, dia tahu batas pergaulan dengan orang di sekelilingnya. Begitu juga batas pergaulannya dengan Syahmil. Ya dulu mereka kekasih, tapi sekarang sekadar rakan sekerja sahaja dan tidak lebih dari itu. Dia tahu syurga di bawah tapak kaki suami walau dia tahu suaminya bukan setaraf dia seperti apa yang Hazif katakana padanya sebentar tadi.
       Memang pada mulanya sukar untuk Syamiza menerima yang dia harus berkahwin dengan Hazif. Dia dengan Hazif memang jauh berbeza. Namun kerana hormat dengan wasiat arwah ayahnya maka dia menerima Hazif sebagai suami. Sebetulnya Hazif adalah anak saudara ayah. Saudara jauh. Anak yatim piatu. Arwah ayah Syamiza yang menjaga Hazif setelah kedua ibu bapanya meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya. Semasa hayat kedua orang tua mereka telah bersetuju untuk menjodohkan mereka berdua. Sebelum menghembuskan nafas terakhir arwah ayah Syamiza meninggalkan wasiat agar mereka berdua berkahwin kerana beliau yakin Hazif mampu menjadi pembimbing dan suami yang terbaik buat anaknya. Menerima dan membuat keputusan untuk berkahwin dengan Hazif bukanlah sesuatu yang mudah buat dirinya. Kerana pada masa yang sama semua orang tahu bahwa dia dengan Syahmil sedang hangat bercinta. Dia juga tahu Syahmil tidak dapat menerima berita itu serta tidak dapat menerima keputusan itu kerana wasiat maka dia terpaksa terima.

BAB 5
“Syah, tolong hormati Sya sebagai seorang isteri orang dan sebagai seorang rakan sekerja. Hubungan kita sudah tamat. Sya hormat Syah sebagai rakan kerja dan Sya harap Syah juga menghormati Sya,” tegas Syamiza dengan nada yang serius.
“Syah masih cintakan Sya. Masih sayangkan hubungan kita dulu. Sya ingat Syah boleh terima perkahwinan Sya dengan mamat poyo tu? 
“Syah, Hazif suami Sya. Walau dia hanya pekerja biasa tapi Sya hormat dia sebagai seorang suami. Bukan bermakna dengan kerja dia sebegitu jadi alasan untuk Sya curang pada dia. Syah jangan ingat Sya mudah diperkotak-katikan oleh Syah. Cerita kita sudah berakhir. Sudah lama tamat. Sedarlah Syah. Maafkan Sya kerana tidak mempertahankan cinta kita. Hati Sya sudah dimiliki oleh orang yang sepatutnya. Jika Syah berterusan begini mendesak Sya, Sya tidak akan teragak-agak untuk letak jawatan di Gimara Holdings, jika itu boleh memuaskan hati Syah.” Tegas Syamiza pada Syahmil.
“Tak bolehkah Sya beri peluang? Hanya Sya yang Syah cinta dari dulu dan untuk selamanya,” agak lembut nada suara Syahmil.
Tanpa menoleh lagi Syamiza meninggalkan Syahmil. Tiada lagi bahasa Syah dan Sya keluar dari bibirnya. Mungkin kerana dia sakit hati dengan tindakan Syahmil yang tidak menghormati status dia sebagai isteri orang. Terkebil-kebil Syahmil ditinggalkan begitu saja oleh Syamiza.
“Itulah bodoh sangat! Bodoh! Tak tahu nak sembunyikan perasaan. Padan dengan muka aku,” tempelak Syahmil dalam hati.
“Asal kau tahu Syamiza, bahawa aku akan sentiasa mencari peluang agar kau akan menjadi milikku suatu hari nanti. Walau apa cara sekali pun. Aku nak kau pulangkan hati aku yang telah kau curi dulu Sya. Hati aku yang kau bawa bersama kini. Aku nak cinta aku kembali. Aku tak akan lepaskan kau. Kau hak aku Syamiza. Tak apa, nasib kau baik Hazif kerana kau dipilih oleh Syamiza sebagai suami. Kau ingat kau hebat sangatkah? Setakat kuli aku tak hairanlah!” Gertak hati kecil Syahmil sambil mengenggam botol air mineral di tangannya. Kemek botol itu digenggamnya.
       Dalam kereta Syamiza memicit kepalanya yang terasa berdenyut-denyut. Sakit kepala. Migrain. Mungkin sebab cuaca panas di tapak projek tadi atau pun kerana terlalu memikirkan tentang Syahmil yang dah macam orang naik hantu mendesak agar dia menerimanya.
“Gila!”.
     Dia tidak berhasrat untuk balik ke pejabat memandangkan jam di tangannya sudah menunjukkan pukul 6 petang. Maka dia meneruskan perjalanan ke rumahnya. Lagi pun dia tahu tanggungjawab dia sebagai isteri. Tugas di rumah perlu dilaksanakan walau pun dia sibuk dengan kerja. Itu bukan alasan untuk dia bersenang-senang walau dia tahu tugas Hazif kadang-kadang di luar kawasan.

BAB 6
“Orang kirim atau abang yang bagi?” duga Syamiza sambil tersenyum memandang suaminya.
       Namun tiada sebarang reaksi di wajah Hazif. Sebaik saja jambangan bunga itu disambut Syamiza, dia berlalu ke ruang tamu meninggalkan isterinya yang masih terpinga-pinga.
“Eh…marah? Ker merajuk?” Dia yang bagi kita dia pula yang nak terasa hati,” omel Syamiza seraya membuka kad yang terselit di tengah-tengah bunga itu.
Baru dia bercadang hendak menyelak kad itu, lantas dia terfikir yang setahu dia selama ini tak pernah pun Hazif berikan bunga pada dia. Jangankan setangkai, sejambak pun tidak. Jangankan bunga hidup, bunga plastik pun tak pernah.
“Abang ni biar betul. Buang tebiat ker?” desis hati kecil Syamiza seraya menyelak kad ucapan.
“Tak bolehkah awak berikan saya peluang? Hanya awak yang saya cinta dari dulu, kini dan selamanya-Syahmil Hakimi”
“Hah! Memang dah gila Syahmil ni,” gerutu Syamiza gelisah sambil berpaling hendak menjelas perkara sebenar pada suaminya. Namun belum sempat dia berlalu ke ruang tamu, terlebih dahulu Hazif sudah berada di belakangnya. Tindakan Hazif begitu mengejutkan Syamiza.
“Berterus terang saja. Apa semuanya ini?” kedengaran jelas suara Hazif pada isterinya.
“Sya tak tahu dia boleh bertindak sampai ke tahap ini abang. Sya tak ada apa-apa hubungan dengan dia. Sya bersumpah,” antara dengan dan tidak suaranya.
“Kalau tak ada apa-apa kenapa dia boleh kirim bunga? Sayang jangan sembunyikan sesuatu dari abang. Beritahu perkara sebenar.”
“Abang percayalah pada Sya. Sya tak tahu bagaimana lagi nak jelaskan.”
“Abang nak keluar sekejap. Jangan tunggu abang makan. Kalau lapar makan dulu,” akhirnya itu yang keluar dari bibir Hazif.
Seribu satu persoalan muncul dibenaknya saat ini. Jujurkah Syamiza padanya selama ini. Curangkah Syamiza? Dayuskah dia sebagai suami membiarkan isterinya dicintai oleh orang lain? Apakah yang harus dia lakukan? Dia tahu dia tidak standing Syamiza dan tidak juga setanding Syahmil. Tetapi dia ada hak sebagai suami dan dia bertanggungjawab untuk mengetahui apa yang berlaku di sebalik itu semua. Kereta meluncur laud meninggalkan rumah dan isterinya menuju ke tasik yang selalu dikunjunginya bersama Syamiza sebelum ini.

BAB 7
“Engkau kenapa ni Sya? Aku dengar macam ada masalah. Sekejap lagi aku ke sana. Kau tunggu,” jawab Nazuha di hujung talian.
Sebaik sahaja Hazif berlalu, dia terus menghubung sahabat baiknya Nazuha. Tak ada lagi rasa lapar dirasanya dan hanya menangis tanpa henti. Dia benar-benar risau. Dia tahu Hazif marah tapi itu bukan salah dia. Itu semua salah Syahmil. Salah Syahmil yang tidak pernah jemu mengharap cinta dia walau sudah berkali-kali dia jelaskan. Setengah jam kemudian Nazuha sudah tercegat di depan pagar rumahnya.
“Kenapa dengan kau ni Sya? Apa masalahnya sampai kau nangis ni? Gaduh dengan Hazif? Dia pukul kau ker?”
Bertalu-talu soalan Nazuha.
“Aku tak tahu nak cakap apa lagi Zu. Aku sudah jelaskan pada dia tapi dia tak percaya. Aku nak jelaskan apa lagi Zu? Aku sayangkan dia. Aku bukan seperti apa yang dia sangkakan,” kata Syamiza sambil teresak-esak.
Nazuha terpandang jambangan bunga di dalam tong sampah. Dia terasa ada sesuatu yang tak kena dengan jambangan bunga itu. Lantas dia bangun dan mengambil kad yang ada di tong sampah itu lalu dibacanya. Dia seakan tidak percaya apabila membaca apa yang ditulis pada kad itu.
“Oh! Ini penyebabnya ya,” hati kecil Nazuha berbisik.
“Betul kau tak curang pada Hazif?
Hanya angguk kepala itu jawapan Syamiza. Sepatah kata pun tak kedengaran.
“Kau tak cintakan Syahmil lagikan?”
Dia memandang tepat ke bola mata sahabatnya itu. Gelengan kepala saja yang menunjukkan jawapan dari Syamiza.
“Eh, hello Syamiza…aku tanya kau jawap dengan suara boleh tak cik puan intan payung pujaan hati beta?”
Nazuha jadi bengang melihat reaksi Syamiza padanya. Angguk, geleng. Itu sahaja.
“Ok…Sya jawap. Sya tak ada apa-apa perasaan pada Syamil. Cinta kami sudah lama berakhir. Tapi dia masih tidak dapat terima hakikat yang kami sudah tak ada jodoh. Dia sentiasa mendesak Sya untuk terima dia semula Zu. Sya dah muak dengan sikap dia tahu tak? Dia terus menerus menekan Sya.”
Nazuha mengangguk tanda dia percaya kata-kata sahabatnya itu.
“Sebagai kawan, aku percayakan kau. Baguslah kau tak curang pada Hazif. Kesian kat dia Sya. Aku nak ingatkan kau satu perkara saja. Jangan dengar guruh di langit, air di tempayan dicurahkan. Kau faham maksud aku kan?”

BAB 8
“Kurang ajar kau Syahmil! Nah ambik kau! Kerana kau, aku mencurigai kejujuran isteri aku. Kau ni manusia jenis apa hah! Cukuplah Syahmil. Kau lupakan saja Syamiza. Kisah korang berdua sudah berakhir. Jangan ganggu isteri aku lagi faham tak!”
       Dari jauh Badrul yang kebetulan sedang beriadah di tasik itu melihat pergelutan antara mereka berdua.
“Hoi! Sudahlah tu! Hentikan. Tak ada faedah nak bertumbuk macam ni. Selesaikan dengan cara baik,” ujar Badrul sambil meleraikan kedua-dua mereka.
“Kau kalau betul anak jantan kau lawan aku Syahmil! Kau lawan aku! Apa yang kau tak puas hati hah sial!”
Lagi Hazif mengacukan penumbuknya ke muka Syahmil. Tanpa melawan, Syamil membiarkan saja dirinya dibantai oleh Hazif. Dia merelakan sahaja setiap tumbukan Hazif mengena mukanya. Langsung tidak dielak.
“Sudah Hazif! Sudah! Aku cakap sudah! Stop it!”
Masih Badrul cuba meleraikan mereka.
“Syahmil, aku nak kau minta maaf pada Hazif sekarang. Kau tahu tak kau dah buat kesalahan paling besar? Kau mesti betulkan keadaan.”
“Aku…aku…maafkan aku Hazif. Aku…aku mengaku aku bersalah. Aku mengaku aku masih cintakan Syamiza. Aku memang cemburu pada kau Hazif. Aku sakit hati bila dia pilih kau. Maafkan aku. Aku rasa, dah tiba masanya aku lepaskan Syamiza untuk kau. Aku tahu aku salah cintakan dia. Aku mengaku aku sengaja buat kau marahkan Syamiza supaya kau ceraikan dia dan dia akan kembali menjadi milik hatiku.”
“Kurang ajar!”
    Bukk! Sekali lagi penumbuk singgah di rahang Syahmil. Berdarah bibir Syahmil dek tumbukan itu. Sakit hati Hazif mendengar pengakuan dari Syahmil. Merah padam mukanya mendengar pengakuan dari Syahmil.
“Aku akan berhenti menganggu hidup korang berdua. Ya. Aku akan pergi dari hidup korang. Lagi pun aku dah beri notis perletakan jawatan. Aku akan berhenti kerja dari Gimara  Holdings. Aku tak sanggup lagi nak bertemu dengan Syamiza tiap hari tanpa cinta dia. Aku harap lepas ini korang hidup bahagia. Minggu depan aku akan ke Netherlands. Aku dah dapat tawaran kerja di sana. Aku rasa aku kena mulakan hidup baru aku di sana tanpa Syamiza. Aku harap di sana aku akan temui cinta sejatiku. Maafkan aku Hazif. Aku pergi dulu…”
       Sebaik sahaja habis berkata-kata Syahmil terus berlalu meninggalkan Hazif dan Badrul.
“Syah…What? Wait…”
Badrul seakan tak percaya dengan apa yang dia baru dengar. Namun, Syahmil tidak menoleh pun walau disapa oleh Badrul. Nekad sungguh lagaknya dia.

BAB 9
      Agak lama juga tangis Syamiza tidak reda, setelah dipujuk dan ditenangkan oleh Nazuha akhirnya dia tenang kembali. Ketika mereka berbual, kedengaran bunyi kereta memasuki perkarangan rumah. Syamiza menjengah keluar dan kelihatan Hazif keluar dari keretanya kemudian masuk ke dalam rumah. Tanpa berlengah lagi, Syamiza mendapatkan suaminya lantas menghulurkan tangan sambil meminta maaf. Dikucupnya tangan Hazif seraya dia menjelaskan perkara yang sebenarnya. Hazif juga sama meminta maaf kerana terlalu mengikut kata hati kerana tidak mahu mendengar penjelasan dari Syamiza terlebih dahulu.
“Sesungguhnya yang terindah itu hanyalah sementara jika ia bukan nyata milik kita. Abang percayalah, Sya tidak pernah curangi abang.”

“Terima kasih sayang.”

Tamat

Cerpen : Siapa?




Dengarkan kisah ini dalam versi audio di YouTube Channel Lentera Kalbu Shaz


Sebagai pengenalan cukup kalian mengenali aku sebagai ‘Aku’ sahaja dan aku bekerja sebagai seorang penjawat awam di salah tempat di Malaysia. Cukup sekadar itu pengenalan aku untuk kalian yang membaca coretanku ini. Hadirku di ruangan ini sekadar berkongsi cerita yang aku anggap agak misteri bagi diri aku. Almaklumlah selama aku hidup umur dah masuk angka 30an, ada beberapa kisah yang aku alami yang benar-benar terjadi pada diriku. Nak kata aku takut, tak juga. Cuma ia menimbulkan rasa tanda tanya dalam diri aku hingga ke hari. Kisahnya bermula begini, iaitu apabila aku diarahkan berpindah tugas ke satu daerah kecil dan tinggal di kuarters dan di situlah semuanya berlaku. Semua yang aku anggap mustahil sebelum ini akhirnya aku alami juga. Tinggal di rumah yang ada dua bilik bilik, ruang tamu dan ruang dapur sudah cukup besar bagiku yang tinggal seorang diri. Sedikit kecut juga perutku tatkala aku mula-mula reiki tempat ini dahulu. Rasa semacam jer… Suasana kejiranan baik-baik saja. Tenang, aman dan damai aku rasakan ditambah lagi dengan suasana sekitar yang sedikit suasana kampung. Syukur aku ditempatkan berkhidmat di sini tanpa kekangan tempat tinggal dan sebagainya. Namun, selama aku tinggal di sini ada juga aku alami beberapa kejadian yang seperti tak masuk dek akal.
            Kisah pertama yang aku lalui iaitu pada satu hari aku semasa sedang masak di dapur sementelah balik dari kerja waktu malam bertemankan bunyi cengkerik dan kodok yang kedengaran dari kawasan lapang di belakang rumah. Memang agak menakutkan mendengarnya jika anda adalah orang yang baru merasai hidup dalam suasana kampung dan tinggal berseorangan seperti aku. Tetapi bagiku biasa-biasa saja kerana aku juga anak kampung. Asyik memasak, tiba-tiba ekor mataku melihat seakan-akan ada seseorang sedang duduk di anak tangga tengah yang memisahkan di antara dapur dan ruang tamu. Seperti sosok seorang lelaki duduk dengan gagahnya sambil memerhatikan aku memasak di dapur. Aku pun apa lagi, terkejutlah! Lantas ku toleh ke anak tangga itu namun tidak nampak sesiapa pun. Kejadian begini bukan sekali dua aku rasai. Sering terjadi apabila aku sedang masak di dapur. Sehingga kini aku masih tertanya-tanya siapa orang itu? Qarin orang yang pernah tinggal di sini dahulukah atau penunggu rumah ini atau jelmaan jin?
            Kisah kedua yang aku lalui di rumah ini pula adalah di dalam bilik tidur. Mula-mula masuk ke rumah ini dahulu aku memang dah rasa semacam jer dalam bilik tidur ni. Panas. Ya panas. Aku pindah masuk ke rumah ini sebenarnya pada musim hujan. Kalau hujan, tinggal di rumah yang diperbuat daripada kayu memanglah terasa sejuk. Tetapi berlainan pula dengan bilik tidur aku ni. Rumah yang aku diami ada dua bilik. Bilik tidur yang aku maksudkan adalah bilik tidur paling hujung tempat yang aku pilih sebagai bilik tidurku, manakala bilik tidur pertama aku jadikan bilik tidur tetamu. Kejadian berlaku apabila aku sedang solat aku sentiasa tidak khusyuk. Seakan ada saja yang menganggu konsentrasi aku. Seolah-olah ada orang lain bersama aku dalam bilik tersebut kerana aku merasakan ada orang yang berjalan melintasi belakang aku apabila aku sedang sujud atau rukuk. Setiap kali aku solat bahang panas terasa menyengat seluruh badan dan mukaku walaupun kipas aku pasang dengan kuat sekali. Itu kisah ketika aku sedang solat. Apabila aku tidur malam pula, memang aku tak pernah tidur lena hingga di buai mimpi indah. Selama tidur dalam bilik ini memang bahang panas sentiasa terasa walau keadaan hujan di malam hari aku tetap pasang kipas dengan kuat. Hujung-hujung aku mengambil inisiatif memasang radio di telefon bimbit hinggalah ke pagi keesokannya bagi memudahkan aku tidur dan dengan harapan subuh esok akan kedengaran ayat-ayat suci al-quran serta azan subuh berkumandang dari radio telefon bimbit aku tu. Manalah tahu boleh hilang ‘orang’ yang aku anggap kongsi bilik tidur dengan aku ni. Apabila aku sudah ada televisyen pula, aku akan angkut televisyen dari ruang tamu bawa masuk ke dalam bilik tidur apabila malam. Akan aku biarkan televisyen itu terpasang hingga ke pagi. Begitu juga dengan lampu di dalam rumah kecuali dalam bilik tidur aku ini, kerana memang aku tak dapat lelapkan mata jika tidur dengan lampu terbuka. Itu adalah antara perkara yang akan aku lakukan selama 3 bulan aku tidur dalam bilik ini. Setelah tiga bulan berlalu aku merasa agak menyusahkan diri pula apabila asyik angkut televisyen keluar masuk bilik tidur tiap hari. Yalah, pagi aku keluarkan letak di ruang tamu, apabila malam aku masukkan letak pula dalam bilik tidur. Akhirnya aku mengambil keputusan untuk tidur saja di ruang tamu bertemankan kipas siling dan televisyen agar tak bersusah payah lagi aku angkat ia keluar masuk bilik. Paling tidak pun, aku hanya perlu angkut tilam, bantal dengan selimut saja. Tidur di ruang tamu ni, alhamdulillah dapat juga aku tidur lena jika dibandingkan dengan aku tidur dalam bilik sebelum ini. Demikian kisah kedua aku.
            Kisah ketiga pula bermula apabila pada suatu hari itu aku ikut satu pertandingan sukan anjuran tempat aku bertugas. Oleh kerana kepenatan bersukan sepanjang hari, selesai saja solat isyak aku tertidur depan televisyen di ruang tamu dengan keadaan lampu ruang tamu masih terbuka. Tanpa aku sedari dek kepenatan seharian maka aku tertidur dengan kepala aku menghala ke pintu masuk ke bilik tidur yang pintunya aku lupa tutup. Tak semena-mena pada malam itu, dalam tidur aku seperti terdengar kaki seseorang berjalan dari ruang dalam bilik tidur tempat aku tidur dulu menghala keluar pintu menghala ke ruang tamu tempat aku tidur. Tiba-tiba aku rasa rambutku dipijak oleh seseorang dan bunyi kaki tersebut berjalan melintasi aku kemudian menapak menghala ke tangga tengah yang menuju turun ke ruang dapur. Bunyi dari kayu anak tangga di ruang tengah itu berbunyi ‘takkk’ seperti dipijak oleh orang. Aku apalagi, terkejutlah. Lantas aku membuka mata sebaik saja aku terasa rambut aku dipijak dan dengar bunyi dari arah tangga di ruang tengah itu. Namun aku tak nampak sesiapa pun. Aku bermimpikah? Mustahil sebab kulit kepalaku masih terasa sakit sebab rambutku baru saja kena pijak sebentar tadi. Bila aku ingat balik kejaidian itu, aku rasa silap aku juga kerana tertidur dengan kepala menghala ke pintu. Sebenarnya kalau menurut kata orang tua-tua dahulu tak elok tidur kepala menghadap pintu atau tidur depan pintu kerana pintu adalah laluan ‘orang’ keluar masuk. Nasib baiklah rambut aku sahaja yang kena pijak, kalau kepala aku yang kena pijak aku pun tak tahu apa akan jadi. Entah-entah dah arwah dah aku agaknya. Kuss semangat…Taubat aku hingga sekarang tak nak tidur depan pintu lagi.

            Demikianlah ketiga-tiga kisah yang aku alami hingga ke hari ini aku tak tahu adakah kejadian tersebut benar-benar berlaku dek kehadiran ‘orang’ lain atau sekadar aku mengalami delusi saja. Namun aku memang pasti di dunia ini bukan hanya kita manusia saja malah ada orang lain yang berkongsi alam dengan kita. Cuma kita saja yang tidak nampak mereka. Apatah lagi jika sesebuah tempat itu pernah ditinggalkan atau dikosongkan dalam masa yang agak lama tidak mustahil akan ‘ada’ yang datang mengisinya.

Tamat

Jumaat, 25 Oktober 2019

Puisi : Mungkinkah






Menanti detik dan waktu
Ternyata itu menyeksakan
Membisu seribu bahasa
Terdiam seribu makna
Kan kekalkah begitu
Di balik sirna cahaya
Setiap saat ku tunggu
Merungkai kerinduan di balik jiwa
Bagai mencantas di persisiran waktu
Menggembleng kudrat kesetiaan nan jitu

Selasa, 22 Oktober 2019

Puisi : Bila Aku Tanpamu





Bila aku tanpamu
Bening semakin hening
Kosong semakin lohong
Hujan rindu seisi ruangan
Igauan pilu memayunginya
Sekian kali pun
Matahari pagi pergi memudar
Memulai hari-hari baru
Waktu tetap berdetik
Hati tetap berdegup
Dalam saat, dalam hari, dalam bulan
Penghujungnya belum tiba
Peraturan riwayat kehidupan
Aku tidak perlu lagi
Bila aku tanpamu

Puisi :- Beratnya Rindu

Versi lagu puisi Lirik penuh versi lagu puisi sila ke pautan seperti di bawah :- https://share-ai.singgenix.com/?token=S7tvkairNKgyHD1Nc5Bdo...