Selasa, 29 Oktober 2019

Cerpen : Geng Motor Besar Ke?






05 Februari 2013 adalah satu tarikh yang tak akan kulupakan. Mungkin kisah kali ini tidak berapa seram pada yang berani. Namun pada yang kurang berani agak menyeramkan. Kejadian berlaku di salah sebuah hotel murah yang terletak di sebuah negeri Pantai Timur Malaysia.
Semuanya bermula apabila aku menghadiri satu kursus anjuran tempat kerja aku yang diadakan di Pantai Timur. Pada mulanya agak risau juga aku nak pergi sendiri. Tetapi memandangkan sudah arahan maka aku pergi juga. Berbekalkan sedikit keberanian dalam jiwa yang kononnya pergi bekerja sambil melancong dalam negara, berkobar-kobar juga semangat aku nak tengok tempat orang. Maklumlah, tak pernah lagi aku menginjak kaki ke tempat orang sejauh ini, seorang diri pula tu.
Pada hari tersebut, perjalanan dari tempat aku ke KLIA mengambil masa kira-kira 2 jam penerbangan. Aku masih ingat lagi waktu itu aku ambil penerbangan pukul 09.15 pagi dan tiba di KLIA pukul11.20 pagi. Memandangkan penerbangan aku ke Pantai Timur pukul 18.35 petang dan dijangka tiba di sana pukul 19.30 malam maka aku ambil keputusan untuk berjalan-jalan terlebih dahulu di sekitar KLIA. Almaklumlah masa masih ada dan masih lama lagi jadi, aku tak lepaskan peluang yang ada sementara menunggu penerbangan yang seterusnya.
Apabila masanya telah tiba, syukur Alhamdulillah penerbangan aku ke Pantai Timur berjalan dengan lancar walau pun cuaca ketika itu hujan. Syukur mendarat dengan selamat. Akhirnya aku menjejakkan kaki di negeri ini. Seronok sangat rasanya. Tiba di sini aku memang dah awal tempah bilik itu pun hasil dari Encik Google. Berjaya juga aku mencari tempat penginapan yang berdekatan dengan hotel tempat aku berkursus. Bila tiba di hotel penginapan yang aku tempah hasil dari Encik Google aku terus check in. Hotel murah je dan masa tu ramai yang menginap. Sebab masa aku pergi tu sedang berlangsung perlumbaan berbasikal Le Tour De Langkawi dan negeri ini adalah salah satu laluan perlumbaan ini. Jadi memang semua hotel penuh dan aku bernasib baik sebab hasil pencarian aku dari Encik Google ada 1 bilik kosong.
Berada di bumi tuhan di negeri ini membuatkan aku rasa menjadi orang asing sekali. Hanya doa saja kupanjatkan moga Allah sentiasa melindungi aku. Sebaik saja dapat kunci bilik aku terus masuk ke bilik dan kemas apa yang patut. Memandangkan aku tiba di hotel dah pukul 9.30 malam maka aku tidak bercadang nak keluar cari makan sebab aku pun sudah keletihan menempuh perjalanan yang berjam-jam dalam penerbangan. Maka aku mengambil keputusan untuk berehat saja dalam bilik sambil menjamu selera dengan Mee Maggi Cup yang aku bawa sedia dalam luggage aku. Cukuplah dengan bekalan makanan yang ada untuk mengalas perut sementara menunggu hari siang keesokkannya. Selesai menjamu selera ala kadar aku membersihkan diri dan seterusnya nak tidur awal. Oleh kerana aku diserang migrain pada malam itu, maka aku memutuskan untuk tidur dengan memadamkan api dan juga televisyen. Aku tak nak tidur dengan cahaya lampu. Hanya lampu bilik mandi yang aku buka tapi pintu bilik mandi aku tutup kerana tak nak silau. Sememangnya aku memang bukan jenis yang tidur suka buka lampu. Kalau lampu terbuka tak dapat tidurlah aku jawapnya.
Niat di hati nak tidur nyenyak hingga ke pagi tanpa gangguan memandangkan malam tu semua dalam keadaan terkawal kononnya. Tapi bila dah tidur, antara sedar dan tidak aku terdengar bunyi derap kaki orang berjalan di luar bilik hotelku dan kemudian dalam kegelapan aku buka mata yang seakan-akan silau aku tengok sosok tubuh seorang lelaki masuk ke bilikku. Sosok yang lengkap berbaju jaket kulit memegang topi keledar di tangan sebelah kanannya. Aku cuba membuka mata dan meronta-ronta cuba bangun dari tempat tidurku. Aku terkejut. Kenapa boleh orang lain masuk kedalam bilik aku sesuka hati sedangkan bilik aku dah kunci dari dalam. Mustahil sungguh dia boleh masuk. Sungguh tidak masuk akal!
Aku tak nampak jelas wajah lelaki itu. Apa yang aku tahu, dia berbadan tegap, tinggi, berpakaian lengkap dengan jaket kulit bersepatu ala-ala “rider” gitu. Aku cuba untuk bangun dari tidurku dan aku merasakan yang lelaki itu melabuhkan badannya di sebelah aku. Aku apalagi, tambah terkejut dan takutlah.
“Eh! Mamat ni dah kenapa? Masuk bilik orang suka hati lepas tu baring atas katil orang suka hati? Entah-entah dia ni nak rogol aku kot. Kalau tak pun dia nak bunuh aku. Ya Allah selamatkanlah aku, tolong aku Ya Allah. Allahu akbar!”
Akhirnya aku berjaya terjaga dan terus bangkit dari katil. Aku terus menghidupkan lampu sisi katil dengan tangan yang terketar-ketar takut dan risau. Mata aku memandang ke sebelah tempat aku berbaring tadi. Tak ada orang! Eh! Aku tadi mimpi atau apa ya? Aku masih terasa lagi haba panas badan lelaki itu berbaring di sebelahku. Masih aku terasa lagi tilam di sebelah aku panas seakan ada orang berbaring. Dadaku berombak kencang. Takut, risau semua perasaan bercampur baur. Hairan juga aku. Memanglah lelaki itu tak buat apa-apa pun pada aku. Kerana apa yang aku ingat dia masuk bilik pegang topi keledar lepas tu terasa di berbaring di sebelah. Itu sahaja.
Berbekalkan sedikit keberanian aku bangkit ke suis utama tepi pintu masuk bilik aku hidupkan lampu. Kemudian aku tengok pintu masih lagi terkunci dari dalam. Aku tak puas hati, aku buka pintu kemudian aku jenguk keluar pintu bilik. Tak ada orang pun. Jam dah menunjukkan pukul 2.15 pagi. Suasana sunyi. Orang sedang tidur kot. Ya Allah, siapalah orang tu tadi ya? Hantu? Bila keadaan aku dah kembali stabil aku dah boleh berfikir waras dan dah kembali tenang, baru aku terfikir sesuatu. Mungkin ‘Dia’ datang sebab bilik aku gelap. Memang gelap sebab aku tutup semua lampu termasuk televisyen. Jadi, aku ambil keputusan menghidupkan televisyen, kubiarkan terpasang tapi suaranya aku kecilkan dan pintu tandas aku buka supaya cahaya lampu dari bilik mandi masuk ke ruang tempat tidur aku. Lampu utama bilik dan lampu sisi tetap aku padamkan sebab aku memang tak boleh tidur dengan lampu terpasang. Gigih juga aku nak lelapkan mata semula sebab silau kena cahaya dari televisyen yang terpasang. Namun aku paksakan juga sebab pagi esok aku kena bangun awal dan berpindah ke hotel tempat aku berkursus di seberang jalan hotel tempat aku menginap ini.
Bangun pagi itu kepala agak sakit sebab gangguan yang aku alami malam tadi. Setelah kemas barang-barang aku ‘check out’ sekitar pukul 10 pagi. Masa check out itu lama juga aku menunggu giliran aku sebab ramai mat motor yang ‘check out’. Aku dengar dari perbualan mereka sebenarnya mereka peserta konvoi motorsikal berkuasa tinggi yang menyertai pasukan perlumbaan Le Tour De Langkawi ni. Mereka nak bergerak ke lokasi lain pula hari ini setelah dua malam mereka menginap di sini. Lebih kurang 30 orang kesemuanya. Padanlah bilik semua penuh masa aku mula-mula tempah dulu. Sampai di hotel malam tadi, empat letak kereta depan hotel ni memang penuh dengan motorsikal berkuasa tinggi. Rupa-rupanya mereka ini yang punya motor tu.
Bergerak saja kumpulan ini aku pun menyerahkan kunci bilik aku. Aku memang akan menginap lagi di sini malam sebelum aku balik nanti dengan harapan agar tak ada lagi gangguan seperti yang aku alami malam tadi. Aku minta juga bilik yang sama aku tempati malam tadi untuk memudahkan aku bergerak ke kaunter hotel ni dan aku nak bilik ni sebab bilik ni paling depan. Aku perempuan jadi rasa takut juga nak duduk di bilik yang jauh dari kaunter manalah tahu kalau ada apa-apa berlaku senang aku minta bantuan.

 Apabila aku sudah bergerak ke hotel tempat aku sepatutnya menghadiri kursus aku terus teringat kisah malam tadi. Timbul satu pernyataan yang agak tidak logik dalam fikiranku. Aku membuat kesimpulan bahawa malam tadi kemungkinan adalah roh orang yang dah meninggal mungkin akibat kemalangan yang berkemungkinan pernah menginap di hotel itu. Roh itu kembali mungkin juga kerana ramai geng yang bermotosikal berkuasa tinggi menginap di situ. Mungkin mereka kawan dia siapa tahu? Itu yang dapat aku simpulkan dari akal aku yang tak berapa nak logik ini dan aku juga percaya kejadian ini memang pernah terjadi. Kali ini aku yang mengalami kejadian sebegini dan aku nak beritahu juga bahawa di dunia ini kita hidup bersama ‘mereka’. Ada yang boleh nampak, ada yang boleh merasai kehadiran mereka dan ada orang yang tidak pernah merasai pun kehadiran mereka. Bukan aku nak mengajak agar semua orang perlu percaya dengan apa yang tidak boleh kita lihat dengan mata kasar. Aku cuma mahu orang perlu percaya apa yang tidak boleh kita lihat dengan mata kasar memang ada. Aku juga sekadar berkongsi dengan kalian apa yang aku pernah rasai dan alami sendiri.

Tamat





Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Puisi :- Beratnya Rindu

Versi lagu puisi Lirik penuh versi lagu puisi sila ke pautan seperti di bawah :- https://share-ai.singgenix.com/?token=S7tvkairNKgyHD1Nc5Bdo...