Dengarkan kisah ini dalam versi audio di YouTube Channel Lentera Kalbu Shaz
Sebagai pengenalan cukup kalian mengenali aku sebagai ‘Aku’
sahaja dan aku bekerja sebagai seorang penjawat awam di salah tempat di
Malaysia. Cukup sekadar itu pengenalan aku untuk kalian yang membaca coretanku
ini. Hadirku di ruangan ini sekadar berkongsi cerita yang aku anggap agak
misteri bagi diri aku. Almaklumlah selama aku hidup umur dah masuk angka 30an,
ada beberapa kisah yang aku alami yang benar-benar terjadi pada diriku. Nak
kata aku takut, tak juga. Cuma ia menimbulkan rasa tanda tanya dalam diri aku
hingga ke hari. Kisahnya bermula begini, iaitu apabila aku diarahkan berpindah
tugas ke satu daerah kecil dan tinggal di kuarters dan di situlah semuanya
berlaku. Semua yang aku anggap mustahil sebelum ini akhirnya aku alami juga.
Tinggal di rumah yang ada dua bilik bilik, ruang tamu dan ruang dapur sudah
cukup besar bagiku yang tinggal seorang diri. Sedikit kecut juga perutku
tatkala aku mula-mula reiki tempat ini dahulu. Rasa semacam jer… Suasana
kejiranan baik-baik saja. Tenang, aman dan damai aku rasakan ditambah lagi
dengan suasana sekitar yang sedikit suasana kampung. Syukur aku ditempatkan
berkhidmat di sini tanpa kekangan tempat tinggal dan sebagainya. Namun, selama
aku tinggal di sini ada juga aku alami beberapa kejadian yang seperti tak masuk
dek akal.
Kisah pertama yang aku lalui iaitu
pada satu hari aku semasa sedang masak di dapur sementelah balik dari kerja
waktu malam bertemankan bunyi cengkerik dan kodok yang kedengaran dari kawasan
lapang di belakang rumah. Memang agak menakutkan mendengarnya jika anda adalah
orang yang baru merasai hidup dalam suasana kampung dan tinggal berseorangan seperti
aku. Tetapi bagiku biasa-biasa saja kerana aku juga anak kampung. Asyik
memasak, tiba-tiba ekor mataku melihat seakan-akan ada seseorang sedang duduk
di anak tangga tengah yang memisahkan di antara dapur dan ruang tamu. Seperti
sosok seorang lelaki duduk dengan gagahnya sambil memerhatikan aku memasak di
dapur. Aku pun apa lagi, terkejutlah! Lantas ku toleh ke anak tangga itu namun
tidak nampak sesiapa pun. Kejadian begini bukan sekali dua aku rasai. Sering
terjadi apabila aku sedang masak di dapur. Sehingga kini aku masih
tertanya-tanya siapa orang itu? Qarin orang yang pernah tinggal di sini
dahulukah atau penunggu rumah ini atau jelmaan jin?
Kisah kedua yang aku lalui di rumah
ini pula adalah di dalam bilik tidur. Mula-mula masuk ke rumah ini dahulu aku
memang dah rasa semacam jer dalam bilik tidur ni. Panas. Ya panas. Aku pindah
masuk ke rumah ini sebenarnya pada musim hujan. Kalau hujan, tinggal di rumah
yang diperbuat daripada kayu memanglah terasa sejuk. Tetapi berlainan pula
dengan bilik tidur aku ni. Rumah yang aku diami ada dua bilik. Bilik tidur yang
aku maksudkan adalah bilik tidur paling hujung tempat yang aku pilih sebagai
bilik tidurku, manakala bilik tidur pertama aku jadikan bilik tidur tetamu.
Kejadian berlaku apabila aku sedang solat aku sentiasa tidak khusyuk. Seakan
ada saja yang menganggu konsentrasi aku. Seolah-olah ada orang lain bersama aku
dalam bilik tersebut kerana aku merasakan ada orang yang berjalan melintasi
belakang aku apabila aku sedang sujud atau rukuk. Setiap kali aku solat bahang
panas terasa menyengat seluruh badan dan mukaku walaupun kipas aku pasang
dengan kuat sekali. Itu kisah ketika aku sedang solat. Apabila aku tidur malam
pula, memang aku tak pernah tidur lena hingga di buai mimpi indah. Selama tidur
dalam bilik ini memang bahang panas sentiasa terasa walau keadaan hujan di
malam hari aku tetap pasang kipas dengan kuat. Hujung-hujung aku mengambil
inisiatif memasang radio di telefon bimbit hinggalah ke pagi keesokannya bagi
memudahkan aku tidur dan dengan harapan subuh esok akan kedengaran ayat-ayat
suci al-quran serta azan subuh berkumandang dari radio telefon bimbit aku tu.
Manalah tahu boleh hilang ‘orang’ yang aku anggap kongsi bilik tidur dengan aku
ni. Apabila aku sudah ada televisyen pula, aku akan angkut televisyen dari
ruang tamu bawa masuk ke dalam bilik tidur apabila malam. Akan aku biarkan
televisyen itu terpasang hingga ke pagi. Begitu juga dengan lampu di dalam
rumah kecuali dalam bilik tidur aku ini, kerana memang aku tak dapat lelapkan mata
jika tidur dengan lampu terbuka. Itu adalah antara perkara yang akan aku
lakukan selama 3 bulan aku tidur dalam bilik ini. Setelah tiga bulan berlalu
aku merasa agak menyusahkan diri pula apabila asyik angkut televisyen keluar
masuk bilik tidur tiap hari. Yalah, pagi aku keluarkan letak di ruang tamu,
apabila malam aku masukkan letak pula dalam bilik tidur. Akhirnya aku mengambil
keputusan untuk tidur saja di ruang tamu bertemankan kipas siling dan
televisyen agar tak bersusah payah lagi aku angkat ia keluar masuk bilik.
Paling tidak pun, aku hanya perlu angkut tilam, bantal dengan selimut saja.
Tidur di ruang tamu ni, alhamdulillah dapat juga aku tidur lena jika
dibandingkan dengan aku tidur dalam bilik sebelum ini. Demikian kisah kedua
aku.
Kisah ketiga pula bermula apabila pada suatu
hari itu aku ikut satu pertandingan sukan anjuran tempat aku bertugas. Oleh
kerana kepenatan bersukan sepanjang hari, selesai saja solat isyak aku tertidur
depan televisyen di ruang tamu dengan keadaan lampu ruang tamu masih terbuka.
Tanpa aku sedari dek kepenatan seharian maka aku tertidur dengan kepala aku
menghala ke pintu masuk ke bilik tidur yang pintunya aku lupa tutup. Tak
semena-mena pada malam itu, dalam tidur aku seperti terdengar kaki seseorang
berjalan dari ruang dalam bilik tidur tempat aku tidur dulu menghala keluar
pintu menghala ke ruang tamu tempat aku tidur. Tiba-tiba aku rasa rambutku
dipijak oleh seseorang dan bunyi kaki tersebut berjalan melintasi aku kemudian
menapak menghala ke tangga tengah yang menuju turun ke ruang dapur. Bunyi dari
kayu anak tangga di ruang tengah itu berbunyi ‘takkk’ seperti dipijak oleh
orang. Aku apalagi, terkejutlah. Lantas aku membuka mata sebaik saja aku terasa
rambut aku dipijak dan dengar bunyi dari arah tangga di ruang tengah itu. Namun
aku tak nampak sesiapa pun. Aku bermimpikah? Mustahil sebab kulit kepalaku
masih terasa sakit sebab rambutku baru saja kena pijak sebentar tadi. Bila aku
ingat balik kejaidian itu, aku rasa silap aku juga kerana tertidur dengan kepala
menghala ke pintu. Sebenarnya kalau menurut kata orang tua-tua dahulu tak elok
tidur kepala menghadap pintu atau tidur depan pintu kerana pintu adalah laluan
‘orang’ keluar masuk. Nasib baiklah rambut aku sahaja yang kena pijak, kalau
kepala aku yang kena pijak aku pun tak tahu apa akan jadi. Entah-entah dah
arwah dah aku agaknya. Kuss semangat…Taubat aku hingga sekarang tak nak tidur
depan pintu lagi.
Demikianlah ketiga-tiga kisah yang aku alami hingga ke hari ini aku tak
tahu adakah kejadian tersebut benar-benar berlaku dek kehadiran ‘orang’ lain
atau sekadar aku mengalami delusi saja. Namun aku memang pasti di dunia ini
bukan hanya kita manusia saja malah ada orang lain yang berkongsi alam dengan
kita. Cuma kita saja yang tidak nampak mereka. Apatah lagi jika sesebuah tempat
itu pernah ditinggalkan atau dikosongkan dalam masa yang agak lama tidak
mustahil akan ‘ada’ yang datang mengisinya.
Tamat
Tiada ulasan:
Catat Ulasan