Khamis, 27 Februari 2020

Puisi : Irama Sendu






Bila irama sendu
Mengiringi hari-hariku
Pastikan gelora ini yang terus berlagu
Mengukir kelopak bunga di naluriku
Bila jiwa ini ragu
Lantas aku rasa ngilu
Untuk meneruskan langkah kaki
Inginku berhenti di situ
Agar setiap hari mukaku
Tidak terus dibayangi
Irama sendu yang sentiasa berlagu
Mengiringi mimpi ngeriku
Kukumpul segala kekuatan
Segala sisa keinsafan
Segala sifat kemaafan
Segala rasa kesyukuran
Kini hanya tersisa
Irama sendu di jiwaku
Meratapi cerita duniaku
Membayangi memori semalamku
Nyata ingatanku bungkam
Nyata harapanku terpendam
Nyata impianku suram

Nyata hari mukaku kelam




Selasa, 11 Februari 2020

Puisi : Cahaya Yang Hilang








Senjaku di pinggiran
Di sini aku masih setia
Mengutip serpihan kenangan
Merenung jauh ke tengah lautan
Seakan tak pernah luput dari ingatan
Segar silih berganti menerpa wajahku
Berteman mentari senja
Aku mengukir bibit-bibit kasih
Yang ternyata masih tiada tepiannya
Sama seperti ombak yang gigih mencari pinggiran
Semakin ingin kulupa
Semakin ia menjelma
Semakin ingin kuhapus
Makin sinarannya menyilau
Kenapa...Kenapa...Kenapa...
Akukah yang keterlaluan
Akukah yang mengharap
Akukah yang menanti dan terus menanti
Akukah yang sesat dalam khayalan
Atau akukah yang tak ingin cahaya itu menghilang
Aku masih di sini
Mengharap cahaya itu kembali
Yang bila entah akan kutemui
Akulah si pencari cahaya

Ahad, 9 Februari 2020

Puisi : Tuntun





Mencari redha kasih syurgawi
Asas bahagia duniawi ukhrawi
Bukanlah alam khayalan fantasi
Apa yang dicari
Titik mula sebuah kehidupan
Asal lahiriah insani
Asal erti peradaban diri
Tiang sendi ukhuwah manusiawi
Belikat sandang sendi peribadi
Tuntun aku jadi serikandi alami
Cinta kasih Mu Ya Rabb
Tunjang warisan nan satu
Puncak hijrah ummah
Menyinari kegelapan
Kekal selamanya tiada tepian

Khamis, 6 Februari 2020

Puisi : Perjalanan






Termangu di sudut kesesakkan
Terlintas kata hati
Bermain di fikiran apakah betulnya
Tatkala buruan masa yang pantas
Mampukah sepantas itu juga mengejar
Gementar kadang datang menerpa hati
Lalui juga lorong sempit itu yang menghimpit
Di hadapan nun menanti destinasi
Harapan agar pasti sampai
Sampai nanti hari baru untuk bermula
Begitulah silih bergantinya
Hanya yang tahu dan merasa
Lumrah hidup sama merasa
Jalan-jalannya menuju mati

Cerpen : Bila Rindu Bertamu



“Awak…cuba tengok langit tu. Cantikkan? Saya suka duduk kat sini kalau ada kelapangan untuk tenangkan fikiran sambil tengok matahari terbenam,” demikian luah Zarra kepada Alif.

“Ya, memang cantik. Tapi saya baru berkesempatan menikmati keindahan matahari terbenam sebegini. Selama ni saya seakan tidak tahu ketenangan hati dapat diperolehi fengan melihat suasana sebegini. Thanks awak sebab bawa saya ke sini.” Alif menyahut Zarra tanpa menoleh wajah itu.

“Awak tahu tak, awak dah lupakan keindahan yang diciptakan Tuhan. Awak selama ini hanyut dalam dunia awak sendiri. Awak dah abaikan diri awak. Come on Alif. Awak tak boleh berterusan begini. Saya kenal  awak bukan setahun dua. Sudah lama kita bersahabat. Saya faham sangat perangai awak. Awak tak boleh sembunyikan apa-apa dari saya,” tukas Zarra seakan mendesak Alif untuk meluahkan apa yang terbuku di hatinya saat itu.

“Entahlah, saya dah hilang arah. Saya dah tak boleh nak uruskan diri sendiri. Inikan pula nak memikirkan tentang orang lain. Awak tak perlulah nak bersusah payah memujuk saya. Saya dah tak ada apa-apa lagi sekarang. Saya dah muflis awak tahu tak? Awak nak berkawan dengan saya yang tak punya apa-apa sekarang? Awak tak malukah?” Alif membidas.

“Awak, saya tak pernah membina persahabatan atas dasar kebendaan mahu pun darjat. Ya dulu awak ada segalanya. Kedudukkan, harta, wang…itu dulu sebelum saya kenal awal siapa. Apabila kita dah kenal, awak adalah awak yang sekarang. Awak lupakah bagaimana kita kenal dahulu?’ Zarra memberi penjelasan juga tidak mahu kalah dengan bidasannya.

Suasana petang itu sungguh damai dan pemandangan di ufuk timur amat cantik berkilauan persis emas bertaburan di awan gemawan. Sepatutnya pemandangan yang indah sebegini dinikmati sepenuhnya oleh Zarra dan Alif. Namun keadaan mereka petang itu tidak sedamai suasana matahari terbenam. Sebaik sahaja senja melabuhkan tirainya, mereka berdua mengorak langkah meninggalkan pantai menuju ke rumah masing-masing tanpa sepatah kata pun yang keluar dari mulut mereka setelah adegan bidas membidas tadi.

Tanpa diduga oleh Zarra itu merupakan kali terakhir dia berjumpa dengan Alif. Sejak petang itu Alif pergi tanpa sebarang pesan untuknya. Walau demikian, Zarra masih mengharapkan agar Alif kembali suatu hari nanti kerana dia tahu kenapa Alif berbuat begitu. Menghilang tanpa sebarang khabar berita. Dia tahu Alif tertekan dengan masalah yang dia hadapi sekarang. Dia tidak mahu terus mendesak Alif dengan memberikan tekanan emosi kepadanya. Hendak dikirimkan SMS, WhatsApp atau terus menghubunginya dia juga teragak-agak setiap kali dia mahu berbuat begitu. Dia buntu. Dia risau kalau-kalau tindakannya itu menganggu Alif. Paling tidak pun dia risau Alif mungkin akan menggelar dia wanita yang tak tahu malu kerana terus menerus mencari Alif sedangkan Alif sudah tidak mengendahkannya lagi . Semua itu bermain di fikiran Zarra. Telefon bimbit yang sedari tadi dipegangnya, ditenung perkataan yang ditaip seketika tadi dan dihapuskan semula. Kemudian dia cuba mendail nombor telefon Alif. Apabila talian sudah disambungkan, cepat-cepat dia putuskan sambungan.

“Ah! Kenapa dengan aku ni? Awak…kenapa sukar untuk saya menghapuskan awak dari ingatan? Awak buat apa agaknya ketika ini? Awak sihatkah? Awak ok kah? Kenapa awak membisu setelah pertemuan kita petang itu? Saya rindu awak,” desis hati kecil Zarra.

Memang adat orang berlayar. Hidup sebagai pelayar memang banyak cabaran dan sentiasa berjauhan dari keluarga dan orang tersayang. Semua itu alah bisa tegal biasa buat Alif. Cabaran dalam pelayaran sudah sebati dalam hidupnya sejak sekian lama. Baginya kerjayanya ini adalah satu-satunya kerja yang mampu mengubah masa depan ke arah kehidupan yang lebih baik. Itu dulu…tapi bukan sekarang. Walau pendapatan lumayan namun tiada makna. Dia sudah tidak kisah dengan semua itu. Sekarang fikirannya kosong. Pandangan matanya sudah tiada sinar lagi seperti dulu. Hidupnya sudak tidak bermakna lagi. Dia bekerja semata-mata untuk membayar hutang muflisnya. Segala apa yang dia harapkan selama ini cuma tinggal kenangan. Impian dia dan Zarra, cerita cinta mereka dan janji mereka segalanya terhapus begitu sahaja. Bertaburan bak debu ditiup angin. Musnah dihempas badai kehidupan yang melanda Alif. Perhubungan yang pada asalnya mendapat restu kedua-dua orang tua lenyap begitu saja. Alif tahu tidak sewajarnya dia menghukum Zarra sedemikian rupa. Namun dia terpaksa. Dia terpaksa korbankan cintanya pada Zarra kerana keadaan yang menghimpitnya saat ini. Memang dia terlalu sayangkan Zarra, mencintai Zara seluruh jiwanya. Dia tidak mahu kehilangan Zarra. Namun dia tidak ingin Zarra turut terkena tempias kehidupannya sekarang. Alif serba salah namun dia terpaksa.

“Awak…saya relakan awak pergi dari hidup saya walau saya amat menyayangi awak. Saya terpaksa kerana saya tidak mahu awak hidup susah jika kita bersama kelak. Saya cintakan awak tapi saya tidak mapmu hendak membahagiakan awak dan melaksanakan impian kita. Awak memang wanita yang baik kerana sentiasa di sisi saya setiap jatuh bangun saya. Saya tak pernah ada untuk awak sedangkan awak sentiasa ada menemani saya apabila saya jatuh dalam kehidupan. Saya bukan orang yang layak untuk membahagiakan awak. Saya sayangkan awak. Awak binalah kehidupan dan kebahagiaan sendiri yang lebih baik dan carilah orang lain yang boleh membahagiakan awak dan yang boleh membimbing awak. Maafkan saya buat awak begini…” keluh Alif sambil merenung ke tengah lautan biru yang terbentang luas di depannya.

Sinar suria memancar terang di jendela kamar Zarra pagi itu. Pagi minggu yang indah dialuni dengan kicauan burung di hujung dahan mengkudu yang terletak di anjung rumahnya. Sejak Subuh tadi dia duduk di meja tulisnya bersebelahan dengan jendela. Terkuak luas daun jendela dibukanya seawal subuh tadi. Memang dia dah terbiasa berbuat begitu kerana dia ingat pesan arwah neneknya yang memberitahu awal pagi seelok-eloknya perkara pertama yang perlu dibuat apabila bangun tidur adalah membuka tingkap. Ini kerana kata nenek, kalau buka tingkap menandakan kita menjemput rezeki masuk. Tak semena-mena juga dia teringat pesan Alif kepadanya suatu ketika dahulu.

“Awak, jangan tinggal solat tau…terutama sekali solat Subuh. Subuh tu punca segala pintu rezeki. Jangan mengada-ngada nak bangun lambat pula. Kalau dah selesai solat Subuh jangan tidur pula. Seelok-eloknya cepatlah siapan sarapan pagi untuk keluarga,” Alif mengingatkan Zarra di satu petang sewaktu mereka bersua dulu setelah lama tidak bertemu.

“Eshhh awak ni teruklah. Awak ingat saya ni jenis yang liat bangun tidurkah? Tengok oranglah. Saya bangun awal tau. Awak jangan risau. Saya akan ingat pesan awak. Lagi pun, sebagai seorang muslim bukankah solat itu wajib. Jadi tak ada alasan untuk tidak solat,” tukas Zarra bersungguh-sungguh sambil pandangannya menghala ke tasik buatan manusia yang terbentang luas di hadapan mereka ketika itu. Sengaja mereka berdua meluangkan masa untuk pergi jogging ke Taman Rekreasi Tasik Alamanda petang itu.

Bunyi angsa kepunyaan ibunya di halaman rumah mengejutkan lamunan Zarra pagi itu. Terlalu manis kenangan mereka berdua dan amat sukar untuk dilupakan. Helaian kertas coretan Zarra terhampar di atas meja ditinggalkannya sebegitu rupa. Dibiarkan saja. Memang benar hatinya kosong ketika itu. Itulah rutin Zarra setelah perpisahannya dengan Alif tempoh hari.

“Zarra, mak tengok kamu ni asyik memerap dalam bilik tu. Kamu ada masalah dengan Alif? Alif pun dah lama tak ke sini. Lama benar dia tak balik ya…” Ibunya menyoal sambil menuang air teh ke dalam cawan. Berjela soalan dari Mak Yom ibu Zarra pagi itu.

“Ehermmm…tak ada apa-apa masalah mak. Saja Zarra begitu, nak cari ilham untuk siapkan puisi-puisi Zarra. Mak jangan tak tau pula yang Zarra sekarang sedang siapkan puisi untuk menyertadi peraduan. Abang Alif kerja, kalau kerja memanglah dia tak ada khabar sebab mereka ditegah menggunakan telefon sewaktu bertugas. Kenapa mak tanya Zarra macam tu?” Zarra berdalih tanpa memandang wajah ibunya.

“Bukan apa, sebab mak lihat Zarra tak macam dulu. Kurang ceria. Selalunya kamulah yang suka buat kecoh di rumah ni menyakat mak. Tapi sekarang lain sungguh mak tengok,’ bidas Mak Yom.

“Mak jangan risaulah, Zarra ok je. Zarra sihat dan Zarra tak ada masalah dengan Abang Alif,’ tukar Zarra yang masih menyembunyikan keadaan sebenar dia dan Alif ketika ini.

“Awak…ketahuilah, saya sangat rindukan awak. Mak tak tahu yang awak putuskan hubungan kita. Perasaan rindu saya ini bukan baru semalam berputik, tetapi dah bertahun sejak dari awal perkenalan kita. Saya mengerti mengapa awak makin jauh dari saya dan saya hormati keputusan awak kerana saya tahu semua ini awak lakukan demi kebaikan saya,” terus menerus Zarra bermonolog dalam hatinya. Harapan Zarra agar Alif akan muncul semula suatu hari nanti dan pada ketika itu mereka takkan pernah terpisah lagi. Tapi akan jadi kenyataankah semua itu?

Bulan berganti bulan dan tahun berganti tahun. Sudah 4 tahun Alif sepi tanpa berita. Pada hari ini Zarra memutuskan untuk menerima pinangan Azmirul. Itu semua kerana atas desakan kedua ibu bapanya. Mereka menyalakan Zarra kerana terlalu setia menunggu Alif sedangkan Alif sama sekali terus melupakannya setelah kejadian dahulu. Biar apa kata mereka hanya Zarra yang tahu sebab sebenar mengapa Alif bersikap sedemikian. Bukan salah Alif dan bukan juga salah dia kerana masih menanti Alif. Takdir yang menentukan semuanya. Mereka berdua hanya pelaksana pada setiap perancangan yang telah ditentukan oleh-Nya. Keputusan yang dia ambil hari ini setelah sekian lama didesak kedua orang tuanya diharapkan mampu melenyapkan kenangannya bersama Alif dan sama sekali menghapuskan sisa-sisa rindunya selama ini.

Azmirul telah lama berkenan kepada gadis itu. Bertugas sebagai guru di sekolah rendah dan tinggal sekampung dengan Zarra. Dia tahu Zarra tidak punya pekerjaan tetap selain dari menghabiskan masa sehariannya dengan menulis dan aktif menghasilkan artikel san dari apa yang adiknya beritahu Zarra juga aktif berniaga tudung dan pakaian muslimah secara online. Keadaan itu sedikit sebanyak telah membuahkan bibit-bibit cinta di hatinya. Zarra bukan seorang gadis yang ramai kawan kerana banyak masa dihabiskan di rumah. Telah lama dia perhatikan Zarra dalam diam, namun tak terluah isi hatinya kerana dia tahu hati gadis itu sudah dimiliki. Dimiliki sahabatnya sendiri iaitu Alif Izwar. Azmirul menyampaikan hajat hatinya kepada kedua orang tuanya dan ternyata mereka tiada bantahan. Sebetulnya mereka sudah terdahulu menyatakan hajat hati mereka hendak bermenantukan Zarra kepada kedua ibu bapa Zarra. Cumanya ibu bapa Zarra meminta sedikit masa untuk memberitahu hal tersebut kepada anak mereka. Selang dua minggu setelah Azmirul menyatakan isi hatinya kepada kedua orang tuanya, maka mereka pun menghantar rombongan merisik. Itu pun kerana kedua ibu bapa Zarra sudah memberi lampu hijau menyatakan kesediaan Zarra. Hati orang tua mana yang tidak gembira setelah sekian lama menanti jawapan akhirnya mendapat persetujuan daripada pihak perempuan.

Hari ini impian kedua-dua orang tua mereka menjadi kenyataan. Segala persiapan sudah tersedia dan hari ini merupakan hari pertunangan anak mereka Dyla Zarra dan Fakrul Azmirul. Rombongan lelaki membawa 5 dulang hantaran dibalas dengan 7 dulang hantaran oleh pihak perempuan. Majlis pertuangan berlangsung dalam suasana yang amat ringkas. Persalinan baju warna biru lembut sedondon sangat pasangan ini sama cantik sama padan. Sebaik sahaja cincin pertunangan disarungkan ke jari manis Zarra oleh ibu Azmirul lantas dahinya dikecup lembut oleh wanita tua itu. Termaterilah sudah Zarra kini sah bergelar tunangan kepada Azmirul. Selesai semuanya rombongan pihak lelaki pun bersurai.         

“Alhamdulillah Zarra…akhirnya tercapai juga hasrat mak nak tengok kamu bertunang sebelum mak menutup mata. Nampaknya memang Azmirul itu jodoh kamu nak,” luah Mak Yom.

Zarra masih lagi duduk di birai katil usai sahaja majlis pertunangannya tadi. Jauh renungannya ke luar jendela. Masih menerawang nun jauh ke samudera luas. Ingatannya kepada Alif ternyata sukar untuk dipadamkan.

“Awak…hari ini saya dah jadi tunangan orang. Tunang Cikgu Fakrul Azmirul kawan baik awak. Awak tahu tak, bertahun saya menanti awak tapi awak langsung tiada khabar. Sebab tu saya memutuskan untuk menerima dia dengan harapan agar saya dapat menerima kenyataan bahawa awak bukan untuk saya. Maafkan saya ya kerana menodai janji untuk menunggu awak,’ desis hati kecil Zarra.

“Zarra! Mak cakap dengan kamu ni. Kamu ada masalahkah? Susah sangatkah nak terima hakikat yang Alif tu dah lama lupakan kamu? Kalau kamu tak suka Cikgu Azmirul tu kenapa kamu terima juga? Jangan buat hal ya nak, mak harap sangat kamu terima dia sepenuh hati kamu,” bertalu-talu soalan Mak Yom apabila dia lihat dari tadi Zarra hanyut dalam dunianya sendiri.

“Tak ada apa-apalah mak. Zarra penat. Sekarang Zarra ikut segala kemahuan emak dan ayah. Zarra tahu emak dan ayah nak yang terbaik dalam hidup Zarra. Zarra takkan kecewakan mak dan ayah lagi. Tentang Alif tu, biarkanlah dia pergi dengan kenangan Zarra. Kami tiada jodoh nak buat macam mana. Mungkin dia dah ada kehidupan dia sendiri sekarang. Harap dia bahagia seperti mana juga harapan dia pada Zarra di hari terakhir kami berjumpa 4 tahun lalu. Sekarang Zarra dah ada Azmirul jadi Zarra mesti terima ketentuan takdir,” jawab Zarra panjang lebar meyakinkan Mak Yom.

Mendengar jawapan Zarra, Mak Yom menganggukkan kepala mengiakan apa yang dikatakan oleh anaknya itu. Dia merasakan mungkin itulah keputusan terbaik yang telah dipilih oleh Zarra dalam hidupnya setelah sekian lama menanti Alif kembali semula ke dalam hidupnya. Dia tidak mahu mengganggu anaknya lagi kerana dia tahu Zarra memerlukan masa untuk menerima kehadiran Azmirul sebagai tunangannya. Lantas dia keluar dari bilik meninggalkan Zarra sendirian.

Setelah ibunya meninggalkan dia bersendirian, Zarra menukar pakaian dan membersihkan mekap di muka. Sebenarnya dia tak selesa apabila mekap tebal menempel di wajahnya kerana dia memang bukan seorang yang suka bersolek. Usai membersihkan muka dia lantas masuk ke bilik mandi untuk membersihkan diri kerana waktu Zuhur sudah semakin hamper. Selesai menunaikan solat Zuhur dia menolong ibunya di dapur kerana dari tadi kelihatan ibunya sibuk mengaut lauk ke dalam mangkuk. Kelihatan ayah dan adiknya juga sudah berada di meja makan. Suasana pada tengah hari itu agak hening kerana tiada seorang pun di antara mereka bercakap. Wajah tua ayahnya kelihatan letih kerana sejak pulang rombongan pihak lelaki tadi dia terus mengemaskan apa yang patut di anjung rumah dan di taman. Bersemangat pula ayahnya ittu.

“Baru bertunang dah tak senang duduk. Macamlah esok nak bersanding,” desis hati kecil Zarra sambil mengerling wajah ayahnya itu.

“Lepas ni Zara ada apa-apa nak dibuat tak?” Tiba-tiba ayahnya bersuara dan sekali gus mengejutkan mereka bertiga yang sedang leka menyuap makanan. Zarra, adiknya Mazni dan ibunya berpandangan sesama sendiri. Tak faham kenapa doa bertanya soalan begitu kepada Zarra.

“Ermmm…Zarra ingat nak update gambar tudung yang baru sampai semalam, lepas tu nak siapkan artikel terbaru Zarra. Tu je la. Kenapa ayah? Ayah nak Zarra tolong buat sesuatu? Kalau macam tu nanti Zarra minta tolong Mazni untuk update koleksi tudung terbaru tu. Zarra tolong ayahlah,” jawab Zarra sambi mngerutkan dahinya.

 “Bukan apa. Lepas Asar nanti ayah nak ajak kamu susun balik pasu-pasu kat taman tu. Besok kalau kamu dah dekat nak bersanding tak perlu lagi buat kerja sat-saat akhir,” beritahu Pak Husin.

“Amboi abang, baru pagi tadi menyarung cincin tunang dah bersemangat pula nak sediakan tempat bak buat kenduri,” perli Mak Yom pada suaminya sambil tersengih.

“Ha’ah la ayah…kakak tu lama lagilah nak bersanding. Bukankah bersandingnya masa cuti sekolah bujung tahun ni. Lagi 3 bulanlah ayah,” sokong Mazni.

“Aku ni bukan apa, aku tak nak nanti dah saat-saat akhir kita berempat ni tak menang tangan nak menyusun atur semua. Kamu bukan tak tahu Yom, Zarra ni cerewenya mengalahkan kamu kalau bab di taman ni. Ingat tak minggu lepas aku ubah kedudukkan pasu bunga kertas kat tepi tangga depan tu dia dah mengomel semacam sebab katanya semua dia dah susun ikut ketinggian dan jenis warna bunga tu. Itulah aku suruh dia tolong aku nanti. Dia beritahu saja nak letak mana nanti aku angkatkan pasu tu,’ jelas Pak Husin.

Pak Husin tahu Zarra kalau bab menyusun atur pasu bunga ni memang cerewet malah Zarra seorang yang teliti hinggakan perkara yang remeh temeh pun dia tak suka. Mak Yom dan Mazni memandang Zarra serentak dan Zarratersengih menampakkan barisan giginya yang putih bersih. Dia tahu ayahnya itu risau sebab dia memang tak suka kalau orang lain mengubah kedudukan pasu bunga di luar tu tak beritahu dia terlebih dahulu.

“Ok, kalau begitu nanti Zarra ikut ayah kemas apa yang patut kat luar tu ya. Nak update gambar tudung tu tak lamalah ayah, sekejap saja. Nanti Mazni pun boleh ikut kakak dan ayah sekali kan?” tokok Zarra. Mazni mengangguk kepala saja sambil tersengih.

Seperti yang telah dijanjikan tengah hari tadi mereka sekeluarga berada di luar rumah. Mereka membersihkan apa yang patut dan sebetulnya memang rutin mereka sekeluarga kalau di hujung minggu selalu bergotong royong membersihkan halaman rumah.

3 bulan sudah berlalu dan hari yang ditetapkan pun menjelang tiba. Tetamu sudah memenuhi ruang depan rumah pengantin perempuan. Kedengan bunyi kompang dipalu menandakan ketibaan rombongan lelaki. Pagi itu acara akad nikah beerlangsung di rumah pengantin perempuan dan diteruskan dengan majlis persandingan. Rombongan pengantin lelaki sudah berkumpul di ruang tengah rumah yang tadi telah dinanti oleh pengantin perempuan. Persalinan baju pengantin berwarna putih bersih menyerlahkan lagi ketampanan pengantin lelaki dan keayuan pengantin perempuan. Usai majlis akad nikah berlangsung pula majlis persandingan kedua mempelai. Majlis berlangsung dengan meriah dan jelas terpancar kegembiraan di wajah kedua ibu bapa mempelai. Tetamu beransur pulang dan yang tinggal hanya beberapa orang kampung yang masih lagi menolong berkemas peralatan yang telah digunakan ketika kenduri tadi berlangsung. Nun di anjung rumah kelihatan kedua mempelai bersalaman dengan tetamu sambil mengucapkan terima kasih.

Mentari mula di ufuk timur, walau kepenatan melayan tetamu seharian namun itu bukan bermakna untuk orang di dalam rumah pengantin mengabaikan waktu solat. Tiba waktu Maghrib seisi rumah solat berjemaah bersama. Kali ini bukan hanya Pak Husin sekeluarga, menantu, malah kedua besannya juga turut ada sama.

“Terima kasih sayang kerana terima abang dalam hidup sayang,” bisik Azmirul lembut sambil mengucup lembut dahi Zarra.

“Terima kasih juga pada abang kerana sanggup terima Zarra seadanya. Ajari Zarra untuk jadi isteri terbaik buat abang,” jawab Zarra sambil tersipu malu.

“Insya allah sayang...Doakan juga agar abang dapat laksanakan tugas menjadi imam terbaik dalam keluarga kecil kita.”

Malam itu bermulalah episod baru dalam kehidupan Zarra sebagai isteri. Segala kenangannya bersama Alif dilemparkan jauh dari kotak fikiran kerana dia rasakan mungkin ada hikmah di setiap kejadian yang telah berlaku. Alif adalah kenangan walau rindu masih ada namun itu dulu. Kini Azmirul hadir menjadi pengganti malah tidak wajar bagi Zarra untuk menghukum diri sendiri terus menanti Alif yang tiada perkhabaran. Dia sudah tahu Alif merelakan setiap keputusan Zarra setelah perpisahan mereka.


“Alif Izwar…tatkala kubiarkan rindu ini bertamu, Allah hadirkan penggantimu buatku. Akan kujaga penjaga hatiku hingga tertutup mata…Kudoakan dirimu juga beroleh sinar bahagia suatu hari nanti. Seseorang yang boleh menjaga hatimu abadi selamanya. Kali ini aku mengaku mengalah dan memadamkan rinduku padamu yang selama ini tak bertepian. Aku angkat sauh kasihku padamu agar belayarmu lebih jauh mencari pelabuhan kehidupan barumu. Aku akur dengan ketentuan takdir untuk melepaskanmu dari hidupku”.

Puisi :- Beratnya Rindu

Versi lagu puisi Lirik penuh versi lagu puisi sila ke pautan seperti di bawah :- https://share-ai.singgenix.com/?token=S7tvkairNKgyHD1Nc5Bdo...