“Awak…cuba tengok langit tu. Cantikkan? Saya suka duduk kat
sini kalau ada kelapangan untuk tenangkan fikiran sambil tengok matahari
terbenam,” demikian luah Zarra kepada Alif.
“Ya, memang cantik. Tapi saya baru berkesempatan menikmati
keindahan matahari terbenam sebegini. Selama ni saya seakan tidak tahu
ketenangan hati dapat diperolehi fengan melihat suasana sebegini. Thanks awak
sebab bawa saya ke sini.” Alif menyahut Zarra tanpa menoleh wajah itu.
“Awak tahu tak, awak dah lupakan keindahan yang diciptakan
Tuhan. Awak selama ini hanyut dalam dunia awak sendiri. Awak dah abaikan diri
awak. Come on Alif. Awak tak boleh berterusan begini. Saya kenal awak bukan setahun dua. Sudah lama kita
bersahabat. Saya faham sangat perangai awak. Awak tak boleh sembunyikan apa-apa
dari saya,” tukas Zarra seakan mendesak Alif untuk meluahkan apa yang terbuku
di hatinya saat itu.
“Entahlah, saya dah hilang arah. Saya dah tak boleh nak
uruskan diri sendiri. Inikan pula nak memikirkan tentang orang lain. Awak tak
perlulah nak bersusah payah memujuk saya. Saya dah tak ada apa-apa lagi
sekarang. Saya dah muflis awak tahu tak? Awak nak berkawan dengan saya yang tak
punya apa-apa sekarang? Awak tak malukah?” Alif membidas.
“Awak, saya tak pernah membina persahabatan atas dasar
kebendaan mahu pun darjat. Ya dulu awak ada segalanya. Kedudukkan, harta,
wang…itu dulu sebelum saya kenal awal siapa. Apabila kita dah kenal, awak
adalah awak yang sekarang. Awak lupakah bagaimana kita kenal dahulu?’ Zarra
memberi penjelasan juga tidak mahu kalah dengan bidasannya.
Suasana petang itu sungguh damai dan pemandangan di ufuk timur
amat cantik berkilauan persis emas bertaburan di awan gemawan. Sepatutnya
pemandangan yang indah sebegini dinikmati sepenuhnya oleh Zarra dan Alif. Namun
keadaan mereka petang itu tidak sedamai suasana matahari terbenam. Sebaik
sahaja senja melabuhkan tirainya, mereka berdua mengorak langkah meninggalkan
pantai menuju ke rumah masing-masing tanpa sepatah kata pun yang keluar dari
mulut mereka setelah adegan bidas membidas tadi.
Tanpa diduga oleh Zarra itu merupakan kali terakhir dia
berjumpa dengan Alif. Sejak petang itu Alif pergi tanpa sebarang pesan untuknya.
Walau demikian, Zarra masih mengharapkan agar Alif kembali suatu hari nanti
kerana dia tahu kenapa Alif berbuat begitu. Menghilang tanpa sebarang khabar
berita. Dia tahu Alif tertekan dengan masalah yang dia hadapi sekarang. Dia
tidak mahu terus mendesak Alif dengan memberikan tekanan emosi kepadanya.
Hendak dikirimkan SMS, WhatsApp atau terus menghubunginya dia juga teragak-agak
setiap kali dia mahu berbuat begitu. Dia buntu. Dia risau kalau-kalau
tindakannya itu menganggu Alif. Paling tidak pun dia risau Alif mungkin akan
menggelar dia wanita yang tak tahu malu kerana terus menerus mencari Alif
sedangkan Alif sudah tidak mengendahkannya lagi . Semua itu bermain di fikiran
Zarra. Telefon bimbit yang sedari tadi dipegangnya, ditenung perkataan yang
ditaip seketika tadi dan dihapuskan semula. Kemudian dia cuba mendail nombor
telefon Alif. Apabila talian sudah disambungkan, cepat-cepat dia putuskan
sambungan.
“Ah! Kenapa dengan aku ni? Awak…kenapa sukar untuk saya
menghapuskan awak dari ingatan? Awak buat apa agaknya ketika ini? Awak
sihatkah? Awak ok kah? Kenapa awak membisu setelah pertemuan kita petang itu?
Saya rindu awak,” desis hati kecil Zarra.
Memang adat orang berlayar. Hidup sebagai pelayar memang
banyak cabaran dan sentiasa berjauhan dari keluarga dan orang tersayang. Semua
itu alah bisa tegal biasa buat Alif. Cabaran dalam pelayaran sudah sebati dalam
hidupnya sejak sekian lama. Baginya kerjayanya ini adalah satu-satunya kerja
yang mampu mengubah masa depan ke arah kehidupan yang lebih baik. Itu dulu…tapi
bukan sekarang. Walau pendapatan lumayan namun tiada makna. Dia sudah tidak
kisah dengan semua itu. Sekarang fikirannya kosong. Pandangan matanya sudah
tiada sinar lagi seperti dulu. Hidupnya sudak tidak bermakna lagi. Dia bekerja
semata-mata untuk membayar hutang muflisnya. Segala apa yang dia harapkan
selama ini cuma tinggal kenangan. Impian dia dan Zarra, cerita cinta mereka dan
janji mereka segalanya terhapus begitu sahaja. Bertaburan bak debu ditiup
angin. Musnah dihempas badai kehidupan yang melanda Alif. Perhubungan yang pada
asalnya mendapat restu kedua-dua orang tua lenyap begitu saja. Alif tahu tidak
sewajarnya dia menghukum Zarra sedemikian rupa. Namun dia terpaksa. Dia
terpaksa korbankan cintanya pada Zarra kerana keadaan yang menghimpitnya saat
ini. Memang dia terlalu sayangkan Zarra, mencintai Zara seluruh jiwanya. Dia
tidak mahu kehilangan Zarra. Namun dia tidak ingin Zarra turut terkena tempias
kehidupannya sekarang. Alif serba salah namun dia terpaksa.
“Awak…saya relakan awak pergi dari hidup saya walau saya
amat menyayangi awak. Saya terpaksa kerana saya tidak mahu awak hidup susah
jika kita bersama kelak. Saya cintakan awak tapi saya tidak mapmu hendak
membahagiakan awak dan melaksanakan impian kita. Awak memang wanita yang baik
kerana sentiasa di sisi saya setiap jatuh bangun saya. Saya tak pernah ada
untuk awak sedangkan awak sentiasa ada menemani saya apabila saya jatuh dalam
kehidupan. Saya bukan orang yang layak untuk membahagiakan awak. Saya sayangkan
awak. Awak binalah kehidupan dan kebahagiaan sendiri yang lebih baik dan
carilah orang lain yang boleh membahagiakan awak dan yang boleh membimbing
awak. Maafkan saya buat awak begini…” keluh Alif sambil merenung ke tengah
lautan biru yang terbentang luas di depannya.
Sinar suria memancar terang di jendela kamar Zarra pagi itu.
Pagi minggu yang indah dialuni dengan kicauan burung di hujung dahan mengkudu
yang terletak di anjung rumahnya. Sejak Subuh tadi dia duduk di meja tulisnya
bersebelahan dengan jendela. Terkuak luas daun jendela dibukanya seawal subuh
tadi. Memang dia dah terbiasa berbuat begitu kerana dia ingat pesan arwah
neneknya yang memberitahu awal pagi seelok-eloknya perkara pertama yang perlu
dibuat apabila bangun tidur adalah membuka tingkap. Ini kerana kata nenek,
kalau buka tingkap menandakan kita menjemput rezeki masuk. Tak semena-mena juga
dia teringat pesan Alif kepadanya suatu ketika dahulu.
“Awak, jangan tinggal solat tau…terutama sekali solat Subuh.
Subuh tu punca segala pintu rezeki. Jangan mengada-ngada nak bangun lambat
pula. Kalau dah selesai solat Subuh jangan tidur pula. Seelok-eloknya cepatlah
siapan sarapan pagi untuk keluarga,” Alif mengingatkan Zarra di satu petang
sewaktu mereka bersua dulu setelah lama tidak bertemu.
“Eshhh awak ni teruklah. Awak ingat saya ni jenis yang liat
bangun tidurkah? Tengok oranglah. Saya bangun awal tau. Awak jangan risau. Saya
akan ingat pesan awak. Lagi pun, sebagai seorang muslim bukankah solat itu
wajib. Jadi tak ada alasan untuk tidak solat,” tukas Zarra bersungguh-sungguh
sambil pandangannya menghala ke tasik buatan manusia yang terbentang luas di
hadapan mereka ketika itu. Sengaja mereka berdua meluangkan masa untuk pergi
jogging ke Taman Rekreasi Tasik Alamanda petang itu.
Bunyi angsa kepunyaan ibunya di halaman rumah mengejutkan
lamunan Zarra pagi itu. Terlalu manis kenangan mereka berdua dan amat sukar
untuk dilupakan. Helaian kertas coretan Zarra terhampar di atas meja
ditinggalkannya sebegitu rupa. Dibiarkan saja. Memang benar hatinya kosong
ketika itu. Itulah rutin Zarra setelah perpisahannya dengan Alif tempoh hari.
“Zarra, mak tengok kamu ni asyik memerap dalam bilik tu.
Kamu ada masalah dengan Alif? Alif pun dah lama tak ke sini. Lama benar dia tak
balik ya…” Ibunya menyoal sambil menuang air teh ke dalam cawan. Berjela soalan
dari Mak Yom ibu Zarra pagi itu.
“Ehermmm…tak ada apa-apa masalah mak. Saja Zarra begitu, nak
cari ilham untuk siapkan puisi-puisi Zarra. Mak jangan tak tau pula yang Zarra
sekarang sedang siapkan puisi untuk menyertadi peraduan. Abang Alif kerja,
kalau kerja memanglah dia tak ada khabar sebab mereka ditegah menggunakan
telefon sewaktu bertugas. Kenapa mak tanya Zarra macam tu?” Zarra berdalih
tanpa memandang wajah ibunya.
“Bukan apa, sebab mak lihat Zarra tak macam dulu. Kurang
ceria. Selalunya kamulah yang suka buat kecoh di rumah ni menyakat mak. Tapi
sekarang lain sungguh mak tengok,’ bidas Mak Yom.
“Mak jangan risaulah, Zarra ok je. Zarra sihat dan Zarra tak
ada masalah dengan Abang Alif,’ tukar Zarra yang masih menyembunyikan keadaan
sebenar dia dan Alif ketika ini.
“Awak…ketahuilah, saya sangat rindukan awak. Mak tak tahu
yang awak putuskan hubungan kita. Perasaan rindu saya ini bukan baru semalam
berputik, tetapi dah bertahun sejak dari awal perkenalan kita. Saya mengerti
mengapa awak makin jauh dari saya dan saya hormati keputusan awak kerana saya
tahu semua ini awak lakukan demi kebaikan saya,” terus menerus Zarra bermonolog
dalam hatinya. Harapan Zarra agar Alif akan muncul semula suatu hari nanti dan
pada ketika itu mereka takkan pernah terpisah lagi. Tapi akan jadi kenyataankah
semua itu?
Bulan berganti bulan dan tahun berganti tahun. Sudah 4 tahun
Alif sepi tanpa berita. Pada hari ini Zarra memutuskan untuk menerima pinangan
Azmirul. Itu semua kerana atas desakan kedua ibu bapanya. Mereka menyalakan
Zarra kerana terlalu setia menunggu Alif sedangkan Alif sama sekali terus
melupakannya setelah kejadian dahulu. Biar apa kata mereka hanya Zarra yang
tahu sebab sebenar mengapa Alif bersikap sedemikian. Bukan salah Alif dan bukan
juga salah dia kerana masih menanti Alif. Takdir yang menentukan semuanya.
Mereka berdua hanya pelaksana pada setiap perancangan yang telah ditentukan
oleh-Nya. Keputusan yang dia ambil hari ini setelah sekian lama didesak kedua
orang tuanya diharapkan mampu melenyapkan kenangannya bersama Alif dan sama
sekali menghapuskan sisa-sisa rindunya selama ini.
Azmirul telah lama berkenan kepada gadis itu. Bertugas
sebagai guru di sekolah rendah dan tinggal sekampung dengan Zarra. Dia tahu
Zarra tidak punya pekerjaan tetap selain dari menghabiskan masa sehariannya
dengan menulis dan aktif menghasilkan artikel san dari apa yang adiknya
beritahu Zarra juga aktif berniaga tudung dan pakaian muslimah secara online. Keadaan
itu sedikit sebanyak telah membuahkan bibit-bibit cinta di hatinya. Zarra bukan
seorang gadis yang ramai kawan kerana banyak masa dihabiskan di rumah. Telah
lama dia perhatikan Zarra dalam diam, namun tak terluah isi hatinya kerana dia
tahu hati gadis itu sudah dimiliki. Dimiliki sahabatnya sendiri iaitu Alif
Izwar. Azmirul menyampaikan hajat hatinya kepada kedua orang tuanya dan
ternyata mereka tiada bantahan. Sebetulnya mereka sudah terdahulu menyatakan
hajat hati mereka hendak bermenantukan Zarra kepada kedua ibu bapa Zarra.
Cumanya ibu bapa Zarra meminta sedikit masa untuk memberitahu hal tersebut
kepada anak mereka. Selang dua minggu setelah Azmirul menyatakan isi hatinya
kepada kedua orang tuanya, maka mereka pun menghantar rombongan merisik. Itu pun
kerana kedua ibu bapa Zarra sudah memberi lampu hijau menyatakan kesediaan
Zarra. Hati orang tua mana yang tidak gembira setelah sekian lama menanti
jawapan akhirnya mendapat persetujuan daripada pihak perempuan.
Hari ini impian kedua-dua orang tua mereka menjadi
kenyataan. Segala persiapan sudah tersedia dan hari ini merupakan hari
pertunangan anak mereka Dyla Zarra dan Fakrul Azmirul. Rombongan lelaki membawa
5 dulang hantaran dibalas dengan 7 dulang hantaran oleh pihak perempuan. Majlis
pertuangan berlangsung dalam suasana yang amat ringkas. Persalinan baju warna
biru lembut sedondon sangat pasangan ini sama cantik sama padan. Sebaik sahaja
cincin pertunangan disarungkan ke jari manis Zarra oleh ibu Azmirul lantas
dahinya dikecup lembut oleh wanita tua itu. Termaterilah sudah Zarra kini sah
bergelar tunangan kepada Azmirul. Selesai semuanya rombongan pihak lelaki pun
bersurai.
“Alhamdulillah Zarra…akhirnya tercapai juga hasrat mak nak
tengok kamu bertunang sebelum mak menutup mata. Nampaknya memang Azmirul itu
jodoh kamu nak,” luah Mak Yom.
Zarra masih lagi duduk di birai katil usai sahaja majlis
pertunangannya tadi. Jauh renungannya ke luar jendela. Masih menerawang nun
jauh ke samudera luas. Ingatannya kepada Alif ternyata sukar untuk dipadamkan.
“Awak…hari ini saya dah jadi tunangan orang. Tunang Cikgu
Fakrul Azmirul kawan baik awak. Awak tahu tak, bertahun saya menanti awak tapi
awak langsung tiada khabar. Sebab tu saya memutuskan untuk menerima dia dengan
harapan agar saya dapat menerima kenyataan bahawa awak bukan untuk saya.
Maafkan saya ya kerana menodai janji untuk menunggu awak,’ desis hati kecil
Zarra.
“Zarra! Mak cakap dengan kamu ni. Kamu ada masalahkah? Susah
sangatkah nak terima hakikat yang Alif tu dah lama lupakan kamu? Kalau kamu tak
suka Cikgu Azmirul tu kenapa kamu terima juga? Jangan buat hal ya nak, mak
harap sangat kamu terima dia sepenuh hati kamu,” bertalu-talu soalan Mak Yom
apabila dia lihat dari tadi Zarra hanyut dalam dunianya sendiri.
“Tak ada apa-apalah mak. Zarra penat. Sekarang Zarra ikut
segala kemahuan emak dan ayah. Zarra tahu emak dan ayah nak yang terbaik dalam
hidup Zarra. Zarra takkan kecewakan mak dan ayah lagi. Tentang Alif tu,
biarkanlah dia pergi dengan kenangan Zarra. Kami tiada jodoh nak buat macam
mana. Mungkin dia dah ada kehidupan dia sendiri sekarang. Harap dia bahagia
seperti mana juga harapan dia pada Zarra di hari terakhir kami berjumpa 4 tahun
lalu. Sekarang Zarra dah ada Azmirul jadi Zarra mesti terima ketentuan takdir,”
jawab Zarra panjang lebar meyakinkan Mak Yom.
Mendengar jawapan Zarra, Mak Yom menganggukkan kepala
mengiakan apa yang dikatakan oleh anaknya itu. Dia merasakan mungkin itulah
keputusan terbaik yang telah dipilih oleh Zarra dalam hidupnya setelah sekian
lama menanti Alif kembali semula ke dalam hidupnya. Dia tidak mahu mengganggu
anaknya lagi kerana dia tahu Zarra memerlukan masa untuk menerima kehadiran
Azmirul sebagai tunangannya. Lantas dia keluar dari bilik meninggalkan Zarra
sendirian.
Setelah ibunya meninggalkan dia bersendirian, Zarra menukar
pakaian dan membersihkan mekap di muka. Sebenarnya dia tak selesa apabila mekap
tebal menempel di wajahnya kerana dia memang bukan seorang yang suka bersolek.
Usai membersihkan muka dia lantas masuk ke bilik mandi untuk membersihkan diri
kerana waktu Zuhur sudah semakin hamper. Selesai menunaikan solat Zuhur dia
menolong ibunya di dapur kerana dari tadi kelihatan ibunya sibuk mengaut lauk
ke dalam mangkuk. Kelihatan ayah dan adiknya juga sudah berada di meja makan.
Suasana pada tengah hari itu agak hening kerana tiada seorang pun di antara
mereka bercakap. Wajah tua ayahnya kelihatan letih kerana sejak pulang
rombongan pihak lelaki tadi dia terus mengemaskan apa yang patut di anjung
rumah dan di taman. Bersemangat pula ayahnya ittu.
“Baru bertunang dah tak senang duduk. Macamlah esok nak
bersanding,” desis hati kecil Zarra sambil mengerling wajah ayahnya itu.
“Lepas ni Zara ada apa-apa nak dibuat tak?” Tiba-tiba
ayahnya bersuara dan sekali gus mengejutkan mereka bertiga yang sedang leka
menyuap makanan. Zarra, adiknya Mazni dan ibunya berpandangan sesama sendiri.
Tak faham kenapa doa bertanya soalan begitu kepada Zarra.
“Ermmm…Zarra ingat nak update gambar tudung yang baru sampai
semalam, lepas tu nak siapkan artikel terbaru Zarra. Tu je la. Kenapa ayah?
Ayah nak Zarra tolong buat sesuatu? Kalau macam tu nanti Zarra minta tolong
Mazni untuk update koleksi tudung terbaru tu. Zarra tolong ayahlah,” jawab
Zarra sambi mngerutkan dahinya.
“Bukan apa. Lepas
Asar nanti ayah nak ajak kamu susun balik pasu-pasu kat taman tu. Besok kalau
kamu dah dekat nak bersanding tak perlu lagi buat kerja sat-saat akhir,”
beritahu Pak Husin.
“Amboi abang, baru pagi tadi menyarung cincin tunang dah
bersemangat pula nak sediakan tempat bak buat kenduri,” perli Mak Yom pada
suaminya sambil tersengih.
“Ha’ah la ayah…kakak tu lama lagilah nak bersanding.
Bukankah bersandingnya masa cuti sekolah bujung tahun ni. Lagi 3 bulanlah
ayah,” sokong Mazni.
“Aku ni bukan apa, aku tak nak nanti dah saat-saat akhir
kita berempat ni tak menang tangan nak menyusun atur semua. Kamu bukan tak tahu
Yom, Zarra ni cerewenya mengalahkan kamu kalau bab di taman ni. Ingat tak
minggu lepas aku ubah kedudukkan pasu bunga kertas kat tepi tangga depan tu dia
dah mengomel semacam sebab katanya semua dia dah susun ikut ketinggian dan
jenis warna bunga tu. Itulah aku suruh dia tolong aku nanti. Dia beritahu saja
nak letak mana nanti aku angkatkan pasu tu,’ jelas Pak Husin.
Pak Husin tahu Zarra kalau bab menyusun atur pasu bunga ni
memang cerewet malah Zarra seorang yang teliti hinggakan perkara yang remeh
temeh pun dia tak suka. Mak Yom dan Mazni memandang Zarra serentak dan
Zarratersengih menampakkan barisan giginya yang putih bersih. Dia tahu ayahnya
itu risau sebab dia memang tak suka kalau orang lain mengubah kedudukan pasu
bunga di luar tu tak beritahu dia terlebih dahulu.
“Ok, kalau begitu nanti Zarra ikut ayah kemas apa yang patut
kat luar tu ya. Nak update gambar tudung tu tak lamalah ayah, sekejap saja.
Nanti Mazni pun boleh ikut kakak dan ayah sekali kan?” tokok Zarra. Mazni
mengangguk kepala saja sambil tersengih.
Seperti yang telah dijanjikan tengah hari tadi mereka
sekeluarga berada di luar rumah. Mereka membersihkan apa yang patut dan
sebetulnya memang rutin mereka sekeluarga kalau di hujung minggu selalu
bergotong royong membersihkan halaman rumah.
3 bulan sudah berlalu dan hari yang ditetapkan pun menjelang
tiba. Tetamu sudah memenuhi ruang depan rumah pengantin perempuan. Kedengan
bunyi kompang dipalu menandakan ketibaan rombongan lelaki. Pagi itu acara akad
nikah beerlangsung di rumah pengantin perempuan dan diteruskan dengan majlis
persandingan. Rombongan pengantin lelaki sudah berkumpul di ruang tengah rumah
yang tadi telah dinanti oleh pengantin perempuan. Persalinan baju pengantin
berwarna putih bersih menyerlahkan lagi ketampanan pengantin lelaki dan keayuan
pengantin perempuan. Usai majlis akad nikah berlangsung pula majlis
persandingan kedua mempelai. Majlis berlangsung dengan meriah dan jelas
terpancar kegembiraan di wajah kedua ibu bapa mempelai. Tetamu beransur pulang
dan yang tinggal hanya beberapa orang kampung yang masih lagi menolong berkemas
peralatan yang telah digunakan ketika kenduri tadi berlangsung. Nun di anjung
rumah kelihatan kedua mempelai bersalaman dengan tetamu sambil mengucapkan
terima kasih.
Mentari mula di ufuk timur, walau kepenatan melayan tetamu
seharian namun itu bukan bermakna untuk orang di dalam rumah pengantin
mengabaikan waktu solat. Tiba waktu Maghrib seisi rumah solat berjemaah
bersama. Kali ini bukan hanya Pak Husin sekeluarga, menantu, malah kedua
besannya juga turut ada sama.
“Terima kasih sayang kerana terima abang dalam hidup sayang,”
bisik Azmirul lembut sambil mengucup lembut dahi Zarra.
“Terima kasih juga pada abang kerana sanggup terima Zarra
seadanya. Ajari Zarra untuk jadi isteri terbaik buat abang,” jawab Zarra sambil
tersipu malu.
“Insya allah sayang...Doakan juga agar abang dapat laksanakan tugas menjadi imam terbaik dalam keluarga kecil kita.”
Malam itu bermulalah episod baru dalam kehidupan Zarra
sebagai isteri. Segala kenangannya bersama Alif dilemparkan jauh dari kotak
fikiran kerana dia rasakan mungkin ada hikmah di setiap kejadian yang telah
berlaku. Alif adalah kenangan walau rindu masih ada namun itu dulu. Kini
Azmirul hadir menjadi pengganti malah tidak wajar bagi Zarra untuk menghukum
diri sendiri terus menanti Alif yang tiada perkhabaran. Dia sudah tahu Alif
merelakan setiap keputusan Zarra setelah perpisahan mereka.
“Alif Izwar…tatkala kubiarkan rindu ini bertamu, Allah hadirkan
penggantimu buatku. Akan kujaga penjaga hatiku hingga tertutup mata…Kudoakan
dirimu juga beroleh sinar bahagia suatu hari nanti. Seseorang yang boleh
menjaga hatimu abadi selamanya. Kali ini aku mengaku mengalah dan memadamkan
rinduku padamu yang selama ini tak bertepian. Aku angkat sauh kasihku padamu
agar belayarmu lebih jauh mencari pelabuhan kehidupan barumu. Aku akur dengan
ketentuan takdir untuk melepaskanmu dari hidupku”.